Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Bekas pemilik Inter Milan dilantik ketua FA Indonesia

    JAKARTA, 16 FEB – Bekas pemilik Inter Milan, Erick Thohir dilantik sebagai ketua persatuan bola sepak Indonesia hari ini, beberapa bulan selepas salah satu bencana stadium terburuk dalam sejarah sukan di negara itu.

    Lelaki berusia 52 tahun itu merupakan Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia dan salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

    Beliau mengendalikan kempen pemilihan semula Presiden Joko Widodo pada 2019, berkhidmat sebagai ketua Jawatankuasa Olimpik Indonesia dan pernah memiliki Inter Milan dan DC United. Abangnya, Garibaldi adalah salah seorang jutawan termuda Indonesia.

    Beliau memperoleh majoriti undi pada mesyuarat persatuan bola sepak dan akan mengadakan sidang akhbar dengan wakil FIFA dalam beberapa hari akan datang untuk menangani pengaturan perlawanan di Indonesia.

    “Bola sepak bersih sepatutnya menjadi matlamat utama, kita tidak boleh bercakap tentang pencapaian jika tidak mempunyai bola sepak bersih dan ini bukan perkara mudah untuk dicapai,” kata Thohir kepada pemberita hari ini.

    Hartawan sukan dan media itu menggantikan pengerusi FA Indonesia, Mochamad Iriawan empat bulan selepas 135 orang terbunuh dalam rempuhan stadium di Jawa Timur apabila polis bertindak balas terhadap pencerobohan padang dengan melepaskan gas pemedih mata ke arah stadium yang dipenuhi peminat.

    Lima orang termasuk tiga pegawai polis sedang dibicarakan kerana peranan mereka dalam tragedi itu.

    Pasukan penyiasat yang ditubuhkan selepas bencana itu meminta Iriawan,yang juga bekas ketua polis Jakarta, berundur tetapi dia enggan dan menjalani baki penggalnya. – AFP

    Erick Thohir (dua dari kanan) menjelang pemilihan ketua persatuan bola sepak yang baharu di Jakarta. – AFP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...