COLOMBO, 21 JAN – Kerajaan berhaluan kiri Sri Lanka mengarahkan bekas presiden, termasuk saudara Rajapaksa yang pernah berkuasa, untuk segera meninggalkan kediaman mewah milik kerajaan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan baharu, kata Menteri Penerangan, Nalinda Jayatissa hari ini.
Kerajaan bercadang untuk menukar kediaman mewah tersebut menjadi hotel bertaraf tinggi atau muzium. Sebagai ganti, bekas pemimpin hanya akan menerima bayaran sewa sebanyak AS$107 (30,000 rupee) sebulan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang tahun 1986.
Jayatissa mendedahkan bahawa bekas Presiden Mahinda Rajapaksa kini menghuni sebuah rumah kerajaan yang nilai sewanya adalah AS$16,500 (4.6 juta rupee) sebulan, iaitu lebih 150 kali ganda daripada hak kelayakannya.
“Kerajaan tidak akan lagi menyediakan kediaman untuk bekas presiden atau balu mereka pada masa depan,” kata Jayatissa. “Mereka hanya akan menerima elaun sewa bersamaan satu pertiga daripada pencen mereka”.
Rajapaksa belum memberikan ulasan rasmi, namun laporan media tempatan menyebut beliau bersedia berpindah sekiranya diberikan notis bertulis. Jayatissa berkata kenyataan awam hari ini boleh dianggap sebagai notis rasmi dan menggesa Rajapaksa segera mengosongkan premis itu.
Laporan media turut mendedahkan Rajapaksa, ketika menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2021, telah menggunakan 800 juta rupee dana kerajaan untuk mengubahsuai rumah yang kini dihuni beliau sebagai bekas presiden.
Adiknya, Gotabaya Rajapaksa, yang meletak jawatan pada Julai 2022 susulan dakwaan salah urus ekonomi dan rasuah, juga sedang menghuni sebuah rumah kerajaan. Dua lagi bekas presiden, Chandrika Kumaratunga dan Maithripala Sirisena, turut menetap di kediaman kerajaan di kawasan diplomatik elit Colombo.
Kebanyakan rumah tersebut dibina semasa era penjajahan British untuk pegawai kanan pentadbiran London. – AFP