Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bekas Perdana Menteri Pakistan pulang ke tanah airnya

    ISLAMABAD, 22 OKT – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif tiba di Pakistan pada kelmarin dengan pesawat sewa dari Dubai, menamatkan empat tahun buangan sendiri di London ketika dia berusaha untuk mengumpulkan penyokong menjelang pilihan raya parlimen yang dijadualkan pada Januari.

    Sharif, yang dipilih sebagai perdana menteri sebanyak tiga kali, dijangka berdepan saingan sengit daripada parti bekas perdana menteri itu dan pesaing utamanya, Imran Khan. Khan digulingkan dalam undi tidak percaya pada April 2022 dan dipenjarakan selepas mahkamah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman tiga tahun dalam kes rasuah.

    Sharif menjadi buruan sejak dia gagal hadir di mahkamah Pakistan pada 2019 berikutan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan rasuah.

    Khan, pada masa itu, telah membenarkannya melancong ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan selepas mengadu sakit dada. Sharif kemudiannya memanjangkan tempoh tinggalnya di London, berkata doktornya tidak membenarkan dia kembali ke Pakistan.

    Mahkamah persekutuan Pakistan pada Khamis memberinya perlindungan selama beberapa hari dalam kes rasuah, membuka jalan untuk dia kembali.

    Di lapangan terbang Islamabad pada kelmarin, penasihat undang-undang dan ahli kanan parti Liga Muslim Pakistan pimpinan Sharif memberinya sambutan hangat. Dia kemudian terbang ke Lahore, di mana puluhan ribu penyokong berkumpul di taman awam untuk menyambutnya. Dalam ucapannya di sana, dia berkata dia memaafkan semua orang yang menyebabkan kecederaan kepadanya pada masa lalu.

    “Saya tidak berniat untuk membalas dendam kepada sesiapa,” katanya dalam ucapan di televisyen.

    Sharif turut mengumumkan rancangannya untuk memulihkan ekonomi negara yang uzur. Beliau berkata pihaknya akan menamatkan pengangguran, memastikan pengurangan inflasi dan ‘menghancurkan mangkuk pengemis’ untuk mengelakkan pergantungan kepada pinjaman asing. Sharif berkata, beliau mahu bekerjasama dengan semua institusi negeri demi kemajuan negara. – AP

    Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif (tengah) menandatangani dokumen sebaik tiba di lapangan terbang Islamabad, Islamabad, Pakistan, pada kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...