Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Walaupun dalam tempoh 90 hari, imuniti seseorang yang pernah dijangkiti masih tinggi tetapi ia tidak menyatakan bahawa mereka 100 peratus tidak boleh dijangkiti malah kemungkinan dijangkiti virus masih ada.
Oleh itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengingatkan orang ramai bahawa seseorang itu bila sudah pernah dijangkiti Omicron, ia juga boleh dijangkiti dengan varian lain walaupun dalam masa 90 hari imuniti mereka.
Yang Berhormat Dato memberi peringatan itu pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini ketika menyentuh imuniti mereka yang pernah dijangkiti dalam tempoh 90 hari.
Beliau seterusnya menjelaskan, Omicron mempunyai dua jenis iaitu BA.1 dan BA.2 yang mana kedua-dua ini juga boleh menjangkiti satu dengan lain tetapi ia jarang berlaku namun masih boleh terjadi.
Sehubungan itu, bagi mengurangkan kemungkinan ini walaupun telah dijangkiti kuman, vaksin adalah penting dan perlu melengkapkan dos bagi yang belum melengkapkan dos mereka dan mendapatkan dos penggalak seterusnya.

“Dengan imuniti daripada vaksin dan imuniti alamiah daripada jangkitan tersebut, mereka yang pernah dijangkiti mempunyai super imunity, yang mana kekebalan tersebut tinggi tetapi tidak mutlak dan tidak menjamin 100 peratus,” jelasnya.
Yang Berhormat Dato seterusnya menegaskan, selagi virus itu masih menular ia akan cuba berubah dan apa yang perlu diberi perhatian apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakannya variant of interest atau variant of concern, ia perlu diambil perhatian lebih.
Beliau juga menjelaskan mengenai DeltaCron yang pernah disebutkan sebelum ini, yang mana ia adalah kombinasi varian Delta dan Omicron tapi ini didapati besar kemungkinan ada pencemaran berlaku di dalam makmal tersebut dan mungkin ianya tidak benar.
“Tapi varian XE ini memang ada cuma belum lagi dipanggil interest atau concern dan ianya masih dipantau.
“Apa yang penting bagi orang ramai, walaupun sudah dijangkiti oleh Omicron atau COVID, vaksinasi adalah penting untuk menambahkan imuniti seseorang itu,” jelasnya.