Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bekas PM Fiji dibenar ikat jamin

    FIJI, 7 FEB – Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dibenarkan ikat jamin di mahkamah hari ini, selepas menghabiskan satu malam di penjara atas tuduhan menyalahgunakan jawatan semasa tempoh beliau berkhidmat dalam kerajaan.

    Bekas laksamana tentera laut berusia 69 tahun itu merampas kuasa tanpa pertumpahan darah pada 2006, mengetuai negara kepulauan Pasifik itu sehingga beliau disingkirkan berikutan pilihan raya pada Disember 2022.

    Tuduhan pertama terhadap Bainimarama bermula pada 2011 apabila beliau menjadi Menteri Kewangan ketika itu, didakwa ‘menyalahgunakan kedudukannya secara melulu’ dengan mengetepikan tawaran tender ‘tanpa justifikasi yang sah,’ kata polis dalam satu kenyataan.

    Bersama Bainimarama, bekas Peguam Negara Fiji, Aiyaz Sayed-Khaiyum, dan bekas Menteri Kesihatan, Neil Sharma, turut diberkas, didakwa dan ditahan kelmarin, kata polis.

    Ketiga-tiga mereka hadir di Mahkamah Majistret Suva.

    Bainimarama beredar selepas hadir di Mahkamah Majistret di Suva pada 7 Februari. – AFP

    Semasa perbicaraan ringkas, Bainimarama, Sayed-Khaiyum dan Sharma masing-masing telah diikat jamin sebanyak FJ$10,000 (AS$4,452). Kehadiran mereka di mahkamah seterusnya ditetapkan pada 19 Mac.

    Sayed-Khaiyum berdepan pertuduhan penyalahgunaan jawatan dan juga dituduh dengan sengaja menghalang Suruhanjaya Bebas Pembanterasan Rasuah Fiji semasa siasatan.

    Pendakwa raya juga telah mengemukakan empat dakwaan terhadap Sharma atas dua pertuduhan, bagi kedua-dua kesalahan penyalahgunaan jawatan dan pecah amanah.

    Dakwaan terbaharu terhadap Bainimarama dikemukakan selepas beliau didapati tidak bersalah kerana memutarbalikkan proses keadilan dalam kes berasingan pada Oktober lalu.

    Bainimarama telah dituduh menggunakan pengaruh politiknya untuk menutup siasatan sensitif polis berkaitan siasatan terhadap kakitangan di Universiti Pasifik Selatan Fiji pada Julai 2020, ketika beliau menjadi Perdana Menteri. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...