WELLINGTON, 26 APRIL – Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mengikuti program fellow di Universiti Harvard, hujung tahun ini.
Ardern mengejutkan New Zealand pada Januari lalu selepas mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas lima tahun memegang jawatan itu, dan berkata beliau tidak lagi ‘mempunyai tenaga’ untuk meneruskannya.
Beliau kini merancang untuk menghabiskan satu semester di universiti elit Massachusetts.
“Saya sangat merendah diri mene-rima pelawaan untuk menyertai Universiti Harvard pada hujung tahun ini sebagai Felo Pemimpin Awam Global Angelopoulos 2023 dan sebagai Pemimpin Hauser di Kennedy School’s Center for Public Leadership,” Ardern menulis di laman Instagramnya.
Beliau akan mengikuti program fellow teknologi untuk ‘mengusahakan cabaran sekitar pertumbuhan alat generatif kecerdasan buatan’.
“Kepakaran Jacinda Ardern, termasuk kemampuan beliau untuk menyatukan kepelbagaian kaum dan institusi, adalah tidak ternilai ketika kita semua mencari penyelesaian kepada masalah paling sukar dalam talian,” kata Zittrain. Beliau tidak menyatakan secara terperinci tarikh kemasukan namun beliau akan menghabiskan masa ‘selama satu semester’.
“Saya akan kembali selepas tamat tempoh tersebut,” tambah Ardern.
Bulan lalu, universiti itu mendedahkan bahawa beliau juga akan mengambil peranan baharu – utusan khas secara sukarela bagi Christchurch Call, kumpulan yang memerangi ekstremisme dalam talian, dan pemegang amanah Hadiah Earthshot Putera William – selepas meninggalkan bidang politik.- AFP