ISLAMABAD, 2 Okt – Perdana Menteri Pakistan yang telah dipecat, Nawaz Sharif membuat kemunculan kedua di mahkamah anti rasuah hari ini, ketika para pegawai berkata dia akan didakwa pada perbicaraan kemudian berhubung tuduhan rasuah yang mungkin akhirnya menyaksikannya dipenjarakan.
Sebuah helikopter berlegar di ruang udara mahkamah Islamabad dan para penyokong melaungkan slogan di sebalik perintang keselamatan apabila Sharif tiba dalam satu konvoi kenderaan SUV BMW, dengan diiringi pengawal polis elit.
Media berserta dengan ramai peguam dan pegawai-pegawai – termasuklah Menteri Dalam Negeri Ahsan Iqbal – dihalang dari memasuki mahkamah, dengan pasukan keselamatan membentuk sekatan manusia ketika bekas perdana menteri masuk.
Sharif meninggalkan mahkamah selepas sejam setengah tanpa membuat sebarang kenyataan.
Para pegawai berkata kes itu telah ditangguhkan sehingga 9 Oktober, tanpa pengesahan bila pendakwaan akan mengambil tempat.

Anak-anak lelaki Sharif Hussain dan Hassan serta anak perempuannya, Maryam juga dinamakan dalam kes itu dan pada masa ini berada di London bersama ibu mereka Kalsum, yang menerima rawatan bagi barah kerongkong.
Seorang pegawai mahkamah memberitahu media bahawa Sharif akan didakwa ‘apabila semua tertuduh hadir di mahkamah,” meskipun seorang lagi pegawai kanan menyatakan kemudian bahawa jika anak-anaknya tidak muncul pada masa itu kesnya akan dibicarakan secara berasingan.
Iqbal mengancam akan meletak jawatan jika dia disekat memasuki mahkamah, dengan melahirkan rasa marah, bahawa pasukan keselamatan di bawah penguasaannya nampaknya tidak mengendahkan arahannya dan menggesa proses mahkamah telus sepenuhnya.
“Saya tidak boleh menjadi menteri dalam negeri boneka. Tidak boleh ada dua kerajaan dalam satu kerajaan,” katanya, tidak secara langsung menyebut pihak berkuasa tentera Pakistan yang telah lama bertikai dengan Sharif dan bersaing bagi kuasa dengan kerajaan awam.
Mahkamah Tinggi menyingkirkan Sharif pada Julai lalu ekoran siasatan ke atas tuduhan rasuah ke atasnya dan keluarganya, yang menjadikan dia perdana menteri ke 15 dalam sejarah 70 tahun Pakistan disingkirkan sebelum menamatkan penggal penuh. – AFP