Bekas suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kerana merotan tangan anak lelakinya, empat tahun lepas.
Hakim Hasbullah Adam membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Armin Zaharin, 57, bagi mengetepikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September 2020.
Hasbullah menggantikan hukuman penjara itu dengan denda dan memerintahkan bekas pramugara itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Armin Zaharin membayar denda tersebut.
Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, antara 8 malam dan 10:30 malam pada 24 Februari 2018.
Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Armin Zaharin ditahan pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018. – Agensi
