Wednesday, February 19, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas uncang teh kayu

    Oleh Amri HTZ

     

    MINUM petang sambil menikmati teh bersama pasangan atau keluarga merupakan masa terluang yang harus dinikmati selain untuk merapatkan hubungan silaturahim. Duduk bersantai di halaman rumah atau di dalam rumah pada satu ruang setentunya memerlukan satu bekas untuk menyimpan peralatan membancuh teh. Bagi mereka sendiri bekas untuk menyimpan uncang teh, beberapa langkah mudah perlu dilakukan seperti di bawah ini.

    Peralatan yang diperlukan

    Bagi mereka kotak uncang teh ini, beberapa peralatan penting yang diperlukan ialah mesin pemotong kayu, pengepit kayu, mesin skrol atau gergaji, pensel, sesiku, pita pengukur, gam kayu, sekeping papan pelet, mesin kertas pasir/kertas pasir dan cat botol jernih (clear).

    Langkah-langkah yang perlu dilakukan

    Langkah pertama, potong papan pelet yang telah disediakan dengan ukuran 7’’ x 7’’ sebanyak enam keping.

    Pastikan papan yang dipotong (jika ia merupakan kayu yang diguna semula) bersih daripada paku atau besi pengokot. Ini bagi memastikan besi-besi yang terdapat pada permukaan kayu tersebut tidak akan merosakkan mata mesin pemotong kayu atau berisiko memecahkan mata mesin sekali gus mendatangkan kecederaan pada diri anda.

    Ketebalan bagi setiap kepingan papan adalah mengikut kemahuan atau keselesaan anda. Dalam projek ini, papan dengan ketebalan 1 inci akan digunakan (ukuran asal papan pelet).

    Setelah memotongkan papan pelet tadi, setiap sudut papan yang telah dipotong akan dipotong dengan sudut mencondong. Tetapkan mesin pemotong kayu kepada sudut potongan 45 darjah dan potongkan setiap empat sudut sekeping papan dengan berhati-hati. Lakukan langkah yang sama pada papan pelet yang selebihnya.

    Kesemua enam keping papan yang telah dipotong tadi akan dicantumkan dengan menggunakan gam kayu. Pastikan setiap permukaan yang akan dicantumkan bersih daripada serpihan kayu kerana untuk memastikan setiap cantuman kukuh kerana permukaan kayu yang akan dicantumkan perlu berada pada keadaan yang sangat rapat (jika terdapat sedikit pun rongga yang terbuka akan melemahkan cantuman).

    Sapukan gam kayu pada keseluruhan permukaan sudut yang telah dipotong dengan 45 darjah tadi dengan mencantumkan kesemua bahagian depan, belakang, sisi kanan dan sisi kiri. Jika anda memiliki mesin pengokot angin, ia merupakan satu kelebihan kerana ia akan mempercepatkan proses percantuman. Manakala jika anda hanya menggunakan pengepit kayu, mulakan dengan mencantumkan kesemua sisi depan, belakang, kiri dan kanan kotak. Berikan masa 24 jam untuk memastikan gam mengering dan cantuman kukuh.

    Pada langkah yang seterusnya, setelah ditinggalkan selama 24 jam untuk gam mengering, cantumkan bahagian bawah kotak bekas tersebut dengan menggunakan gam. Pada kali ini anda hanya perlu membiarkan cantuman mengering selama dua hingga ke tiga jam. Perbezaan masa cantuman di sini di antara masa yang diberikan selama 24 jam adalah cantuman yang pertama tadi tidak boleh menghadapi tekanan dalam masa 24 jam. Jika diberi tekanan, cantuman akan berhadapan dengan risiko struktur cantuman menjadi lebah atau rosak.

     

    Setelah gam mengering, setiap permukaan kotak perlu digosok dengan menggunakan kertas pasir termasuk bahagian penutup kotak. Gunakan kertas pasir berukuran 100 grit bagi menghaluskan permukaan kayu secara kasar kemudian gosok dengan kertas pasir berukuran 400 grit untuk memberikan permukaan kotak yang sangat halus.

    Untuk memudahkan anda membuka dan menutup bekas tersebut, potongkan lebihan kayu untuk dijadikan pemegang penutup bekas. Dalam hal ini, bentuk dan saiz adalah mengikut kesukaan dan keselesaan anda.

    Menambahkan huruf ‘T’ pada bahagian hadapan kotak tersebut merupakan satu pilihan. Bagi memberikan penampilan yang lebih pada bekas tersebut, huruf ‘T’ yang diperbuat daripada kayu akan dilekatkan pada bahagian depan.

    Lakar huruf tersebut pada sekeping kertas atau hanya dengan menggunakan mesin pencetak dan lekatkan pada sekeping kayu. Potong dengan menggunakan mesin skrol atau dengan hanya mesin gergaji. Setelah memotongnya, gosok permukaan huruf dengan kertas pasir dan lekatkan menggunakan gam kayu dengan mengepitnya menggunakan pengepit kayu.

    Pada langkah terakhir, cat permukaan bekas dengan hanya menyemburnya dengan cat botol. Ini bagi memastikan permukaan kayu tidak mudah kotor apabila bersentuhan dengan barangan lain. Dengan uncang teh yang tersedia, letakkan bekas yang telah direka ada bahagian dapur yang sering digunakan untuk meletakkan uncang teh atau hanya dengan meletakkannya pada meja santai halaman rumah anda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda