Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekerjasama jana semula pertumbuhan ekonomi

    Gambar oleh Infofoto dan Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia akan bekerjasama menjana semula pertumbuhan ekonomi pasca pandemik melalui memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyaksikan penandatanganan MoU itu di Istana Nurul Iman hari ini.

    Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pemangku Pengarah Urusan BIA, Haji Sofian bin Mohammad Jani, manakala kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

    MoU itu antara lainnya memberikan pemahaman awal bagi rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan yang boleh dijalankan oleh pihak tertentu di kedua-dua buah negara.

    Ia merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan, pelancongan dan industri makanan halal.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berjabat tangan dengan TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas majlis penandatanganan MoU disempurnakan di Istana Nurul Iman, kelmarin.
    Baginda Sultan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Dr Wan Ismail.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Empat Mata bersama TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
    Baginda Sultan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha semasa Majlis Persantapan Rasmi bersama TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, kerabat diraja dan rombongan dari Malaysia. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, bersama TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkenan menyaksikan penandatanganan MoU dalam bidang pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Agensi Pelaburan Brunei di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah turut berangkat pada majlis mengadap berkenaan.
    YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YAM Pengiran Bini Hajah Faizah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah semasa berkenan berangkat pada majlis mengadap tersebut.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan berangkat pada majlis mengadap itu.
    Haji Sofian dan Datuk Wira Arham menandatangani MoU antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia di Istana Nurul Iman.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap TYT Perdana Menteri Malaysia, dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Dr Wan Ismail.

    Sebelum majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri di perkarangan Istana Nurul Iman, dan seterusnya memperkenalkan TYT Per-dana Menteri Malaysia dan isteri kepada kerabat diraja.

    Berangkat sama ke majlis tersebut ialah ahli-ahli kerabat diraja.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Menteri Pengiring, dan isteri.

    Majlis Perjumpaan Empat Mata

    Selepas majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bersama TYT Perdana Menteri Malaysia bagi Majlis Perjumpaan Empat Mata.

    Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan TYT Perdana Menteri Malaysia membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta usaha-usaha dalam mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara termasuk melalui pemeteraian MoU di dalam bidang pelaburan.

    Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama baharu yang dapat diterokai demi manfaat kedua-dua buah negara.

    Majlis Persantapan Rasmi

    Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman bersama TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri untuk menghadiri Majlis Persantapan Rasmi, berserta dengan kerabat diraja dan rombongan dari Malaysia.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan Baginda juga menyuarakan keyakinan bahawa visi Tuan Yang Terutama dalam ‘Membangun Malaysia Madani’, akan membawa kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan kepada negara dan rakyat Malaysia.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Malaysia menikmati hubungan silaturahim yang akrab di antara kerabat diraja, kerajaan dan segenap lapisan rakyat yang tercetus daripada persamaan sejarah, agama, rumpun dan bahasa.

    Tambahan pula dengan cabaran COVID telah mengeratkan lagi tali persaudaraan tersebut dan membo-lehkan kedua-dua buah negara sama-sama melangkah ke Fasa Pemulihan dengan azam untuk menggiatkan lagi kerjasama kedua-dua buah negara yang terjejas semasa pandemik.

    Oleh itu, Baginda menyambut baik inisiatif bersama ke arah menjana semula pertumbuhan ekonomi di pelbagai bidang, termasuk penandatanganan MoU dalam bidang pelaburan.

    Baginda juga menekankan kepenti-ngan Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan sebagai mekanisme utama dalam meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dan merangka hala tuju pada masa hadapan, serta mengekalkan komitmen kedua-dua buah negara dalam melaksanakan Exchange of Letters yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara lebih 10 tahun yang lalu.

    Baginda Sultan selanjutnya bertitah bahawa ASEAN mempunyai peranan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dan Pemusatan ASEAN perlu terus ditekankan.

    Dalam pada itu, Baginda melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Malaysia sebagai Permanent Shepherd dalam menghasilkan ASEAN Community’s Post-2025 Vision akan memastikan ASEAN kekal relevan di rantau ini.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap supaya hubungan para pemimpin berkenaan akan terus luhur dan diberkati oleh Allah SWT.

    Ini diikuti dengan ucapan balas daripada TYT Perdana Menteri Malaysia di mana beliau menghargai persahabatan antara kedua-dua buah negara yang berasaskan liku sejarah yang panjang serta tradisi kesultanan Melayu Islam yang telah menyumbang kepada pembangunan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    TYT Perdana Menteri Malaysia mengalu-alukan bagi kerjasama dari segi ekonomi dan pelaburan dua hala untuk terus meningkat, dan seterusnya menekankan kepentingan untuk memastikan hubungan istimewa dan kesungguhan dalam melaksanakan apa jua persetujuan dijalankan dengan ikhlas.

    Pada penghujung ucapan, Tuan Yang Terutama telah menjemput Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

    TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri, serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda