THE HAGUE, 19 JAN – Polis Belanda telah merampas ketamin bernilai puluhan juta euro, kata polis hari ini, dengan rampasan dadah mencatat rekod tertinggi di Belanda.
Susulan maklumat yang diterima, polis dua minggu lalu menemui dua tan ketamin yang disimpan dalam kotak di sebuah bangsal di Muiderberg, di kawasan timur Amsterdam.
“Ketamin itu mempunyai nilai pasar gelap sekitar 55 juta euro,” kata polis Belanda.
“Rampasan itu adalah yang terbesar yang pernah ditemui di negara ini,” tambah mereka dalam satu kenyataan.
Polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun, yang tinggal di premis itu bersama dua kanak-kanak ketika serbuan.
Belanda dan negara jiran Belgium telah menjadi pintu masuk utama untuk operasi penyeludupan dadah ke Eropah, terutamanya melalui pelabuhan Rotterdam dan Antwerp.
Pihak berkuasa Belanda melakukan rampasan terbesar pada Ogos, menemui lebih lapan tan kokain yang disembunyikan dalam penghantaran pisang dari Ecuador, konsainan terbesar setakat ini.
Ketamin tidak diharamkan di bawah undang-undang dadah Belanda, tetapi ia tidak boleh diperdagangkan atau disimpan tanpa pendaftaran rasmi.
Ia digunakan sebagai dadah rekreasi kerana kesannya yang melegakan dan halusinogen.
Dadah itu juga boleh digunakan oleh doktor sebagai anestetik dan para penyelidik sedang meneroka penggunaannya sebagai rawatan kesihatan mental.
Pelakon Friends, Matthew Perry mening-gal dunia akibat pengambilan ketamin berlebihan yang tidak disengajakan di rumahnya di Los Angeles pada Oktober, kata pemeriksa perubatan AS, memberikan tumpuan kepada penggunaan dadah itu. – AFP