Gambar Bernama
KOTA BHARU – Setiap kali lebaran, agar-agar kering atau lebih dikenali ‘beleda kering’ dalam kalangan masyarakat Pantai Timur pasti menjadi buruan penggemarnya.
Pengusaha agar-agar kering Nik Nur Radhiah Nik Kamaruzaman, 32, yang mewarisi kemahiran menghasilkan manisan itu berkata dia yang dibantu tiga pekerja tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan sejak awal Ramadan.
Bercakap kepada Bernama, Nik Nur Radhiah berkata keluarganya adalah antara pengusaha yang aktif menghasilkan beleda kering di Kelantan sejak lebih 40 tahun lepas, hasil resipi yang diwarisi daripada moyangnya.
“Pembuatan agar-agar kering nampak seperti mudah, tetapi sebenarnya agak rumit dan memerlukan tenaga kerja terutama semasa memotong (dipanggil ‘mengerat’) bentuk agar-agar bagi mengelak ia mudah patah sekali gus rosak.
“Beberapa perkara penting dalam proses membuat agar-agar kering ialah bancuhan bahan-bahan utama iaitu gula, agar-agar (tahil/tali) dan kuantiti air serta lima warna digunakan iaitu hijau, putih, kuning, merah, jingga atau merah jambu.
“Proses memasak agar-agar ini memakan masa selama lima jam. Setelah siap dimasak, ia kemudian disejukkan di dalam takung yang membolehkan agar-agar ini menjadi seperti ‘rapuh’ atau rangup di luar dan di dalamnya pula berbentuk agar-agar biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Seterpa, Peringat, Kota Bharu.
Bercerita lanjut, Nik Nur Radhiah berkata setelah beberapa jam, agar-agar ini perlu ‘diterbalikkan’ pada waktu malamnya supaya bentuk rapuh itu terjadi pada bahagian atas dan bawah untuk senang dipotong, seterusnya kemahiran memotong penting bagi membentuk kiub empat segi tepat.
“Bagi proses menjemur pula, agar-agar kering itu memerlukan cuaca panas terik, manakala bagi urusan pembungkusan, lima warna diletakkan di dalam setiap plastik dengan berat purata 200 gram (g) hingga 500 g yang dijual dengan harga RM8.
“Semakin menghampiri hari raya, peraih menempah 400 bungkus agar-agar kering yang dibuat setiap hari yang kemudian dijual kepada pelanggan bukan sahaja di Kelantan, tetapi turut dihantar ke negeri lain antaranya Perak, Kedah dan Melaka,” katanya.
Menurut Nik Nur Radhiah, mereka hanya dapat memenuhi permintaan peraih dan pelanggan untuk membuat agar-agar kering itu pada bulan puasa sahaja.
“Setelah bapa meninggal dunia pada 2019, saya dan ibu Mashitah Che Lah, 61, meneruskan usaha memenuhi permintaan pelanggan yang gemarkan agar-agar kering setiap kali tibanya hari raya.
“Kami masih mengekalkan pembuatan secara manual atau tradisional, antara masalah dihadapi ialah sukar mendapat pekerja dan kekangan masa kerana saya bekerja sebagai ejen penghantar surat khabar,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan daripada Management and Science University (MSU) itu. – Bernama