Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beli kereta mewah tunai dan kad

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Perbicaraan Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin disambung lagi hari ini di Mahkamah Tinggi, dengan memanggil beberapa saksi pendakwaan terakhir dari bank B dan bank C.

    Seorang juruwang dari bank B mengesahkan telah memproses transaksi berjumlah $291,000 ke dalam akaun bersama kedua-dua tertuduh, yang terdiri daripada 12 keping nota $10,000; 60 keping nota $1,000; 142 keping nota $500 dan 400 keping nota $100.

    Simpanan wang tunai ini dibuat pada 4 Disember 2015, dengan sumber dana yang didakwa daripada ‘simpanan rumah’. Menurut laporan $10K yang diserahkan kepada Autoriti Monetari Brunei Darussalam, simpanan itu dibuat oleh Ramzidah. Pada 17 Mac 2016, seorang lagi juruwang dari bank sama turut mengesahkan pernah memproses simpanan tunai sebanyak $300,000 terdiri daripada 30 keping nota $10,000 yang didakwa diperoleh dari ‘bahagian penjualan harta milik ibu-bapa’ dan juga ‘penjualan kereta’. Maklumat penyimpan wang tunai itu dimasukkan ke dalam laporan $10K bank tersebut yang mana penyimpannya adalah Haji Nabil.

    QC Simon Farrell mengusulkan bahawa satu-satunya sebab mengapa nama Haji Nabil dimasukkan ke dalam laporan itu adalah kerana namanya tertera terlebih dahulu sebelum nama Ramzidah, dan ini dipersetujui saksi.

    Semasa pemeriksaan semula oleh QC Jonathan Caplan bagi pihak pendakwaan, saksi menjelaskan bahawa nama yang dimasukkan ke dalam laporan itu adalah berdasarkan kad pengenalan yang diberikan kepadanya.

    Keterangan daripada juruwang bank B menunjukkan bahawa Ramzidah membuat permohonan untuk pengiriman wang ke luar negara dalam jumlah GBP 100,000 (kira-kira $170,000 mata wang Brunei) pada Disember 2016 dan GBP 150,000 (kira-kira $255,000 mata wang Brunei) pada Disember 2017.

    Permohonan diproses dan jumlah itu dikirim ke akaun bersama kedua-dua tertuduh di London. Rakaman CCTV turut dimainkan di mahkamah yang menunjukkan rakaman klip pada 9 Jun 2017 antara jam 12:35 hingga 12:37 tengah malam, dan apa yang dikatakan oleh pihak pendakwa adalah Haji Nabil dilihat sedang memasukkan wang tunai ke dalam mesin simpanan tunai (CDM) di bank B.

    Satu lagi rakaman klip menunjukkan kedua-dua tertuduh memasukkan wang tunai ke dalam dua CDM bank B secara berasingan pada 8 Disember 2017 antara jam 6:10 dan 6:16 petang. Rakaman klip terakhir turut menunjukkan kedua-dua tertuduh membuat simpanan wang tunai ke dalam CDM bank B pada 10 Disember 2017 antara jam 12:50 dan 12:56 tengah malam.

    Dalam perbicaraan sesi petang pula, pihak pendakwaan memanggil saksi dari dua buah syarikat penjual kereta mewah iaitu syarikat A dan B. Seorang pengurus jualan di syarikat A memberi keterangannya mengenai penjualan empat buah kenderaan kepada kedua-dua tertuduh.

    Haji Nabil membeli sebuah kereta pada April 2014 dengan harga $139,000 yang dibayar sepenuhnya dengan menggunakan wang tunai, cek dan juga kad debit. Sebuah lagi kereta mewah dibeli oleh Ramzidah pada Januari 2015 dengan harga $176,000 yang sebahagian besarnya dibayar secara tunai dan $6,000 lagi dibayar menggunakan kad kredit. Dua bulan kemudian pada Mac 2015, Haji Nabil sekali lagi membeli sebuah kereta mewah pada harga $217,800 yang dibayar menggunakan kad kredit berjumlah $10,000 dan bakinya $207,800 telah dibayar secara tunai pada bulan berikutnya oleh Haji Nabil.

    Menurut QC Simon Farrell, kedua-dua tertuduh hadir di bilik pameran kereta mewah syarikat A apabila pembayaran dibuat. Dia menghujahkan bahawa Ramzidah yang telah menyerahkan wang tetapi saksi tidak dapat mengingati siapa yang menyerahkan wang itu tetapi saksi hanya dapat mengingati bahawa biasanya, Haji Nabil yang membuat urusan pembelian kereta darinya.

    Kali terakhir Haji Nabil membeli kereta ialah sebuah kereta mewah yang ditempah khas, dan dibayarnya secara penuh pada Disember 2016 dengan wang tunai $128,000 dan baki $55,000 lagi dalam bentuk cek.

    Seorang jurujual eksekutif yang bekerja di syarikat pengedar kereta B turut memberi keterangan mengenai pembelian empat buah kereta mewah oleh kedua-dua tertuduh.

    Pada Oktober 2012, Ramzidah membeli sebuah kereta mewah sport dengan harga $265,000. Dia membayar yuran tempahan sebanyak $35,000 menggunakan cek dan pada Mac 2013, dia membayar baki $230,000 secara tunai.

    Pada Jun 2017, Ramzidah sekali lagi membeli sebuah kereta mewah dengan harga $93,000 dan membayarnya secara tunai, yang mana jurujual memaklumkan mahkamah bahawa wang itu disimpan dalam sampul surat. Pembayaran itu dibuat dalam nota $500 dan $10,000, kata jurujual dalam keterangannya. Haji Nabil juga membeli sebuah kereta mewah pada Ogos 2012 dengan harga $95,000. Dia membayar $20,000 tunai dan juga melalui cek yang berjumlah $25,000 pada Mei 2014 manakala baki $50,000 melalui pembiayaan kewangan bank.

    Sekitar Oktober 2014, Haji Nabil sekali lagi membeli kereta mewah yang berharga $335,000 dari syarikat sama. Dia membayar $69,000 menggunakan cek sebagai bayaran tempahan dan beberapa hari kemudian, dia membayar $31,000 secara tunai sebagai sebahagian daripada pembayaran kereta. Baki $235,000 telah dibayar secara tunai pada Oktober 2015.

    Prosiding perbicaraan akan disambung esok, 2 Oktober dengan memanggil saksi dari syarikat pengedar kereta mewah C.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda