Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beli songkok menang Hyundai Verna

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Hasil berbelanja dalam negara ternyata membawa tuah kepada seorang remaja, Awang Ashraf Naqiuddin bin Mohd Taib, 14, yang membawa pulang hadiah utama sebuah kereta Hyundai Verna.

    Songkok yang dibelinya sempena kempen Blanja in Brunei anjuran YMRM membawanya kepada kemenangan dalam cabutan bertuah yang telah berlangsung di YMRM cawangan Jalan Tungku Link, hari ini.

    Semasa ditemui pihak media, Awang Ashraf Naqiuddin yang masih menuntut di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Rimba mengongsikan bahawa beliau belum membuat sebarang perancangan terhadap hadiah yang baru sahaja dimenanginya itu memandangkan beliau sama sekali tidak menyangka untuk memenanginya.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pengundian dan penyampaian hadiah kepada para pelanggan bertuah ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri; Pengasas dan Pengerusi YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawnani; serta Pengarah Urusan YMRM, Hitesh Ramesh Bhawnani.

    Selain hadiah utama, pelbagai hadiah menarik lainnya turut diberikan bagi kempen yang berlangsung daripada 28 November 2022 hingga 23 April 2023 tersebut, termasuklah telefon bimbit Samsung Fold 4 bagi pemenang di tempat kedua dan penginapan selama tiga hari dua malam di Abode of Peace bagi pemenang ketiga.

    Majlis turut menyaksikan tujuh orang pelanggan bertuah lainnya menerima hadiah sagu hati berupa baucar bernilai $30.

    Awang Ashraf Naqiuddin bersama bapanya bergambar dengan hadiah utama Hyundai Verna yang dimenanginya dalam cabutan bertuah Blanja in Brunei anjuran YMRM.
    Gambar ramai pemenang bersama Pengiran Mohammad Amirrizal dan TYT Alok Amitabh Dimri serta Hitesh Ramesh Bhawnani.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda