Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN 28 JULAI – Di era globalisasi ini, belia diingatkan supaya menghargai dan menggunakan usia, masa dengan sebaik-baiknya.
Ini kerana di usia mudalah masa yang terbaik untuk membina jati diri, menghiasi peribadi dengan adab, akhlak mulia dan yang paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.
“Ini kerana tanpa iman dan takwa serta jati diri yang teguh dan mantap, belia akan mudah dipengaruhi oleh anasir negatif dan gejala yang merosak jiwa, minda, akidah serta akhlak,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Belia Siaga Masa Depan’.
Khatib menjelaskan belia tanpa iman kukuh mudah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, meminum minuman yang memabukkan dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang bertentangan dengan nilai agama yang murni dan tatasusila budaya bangsa.
“Belia adalah aset yang amat berharga dan merupakan tunggak serta kekuatan masa depan bagi sesebuah negara.

“Oleh itu, belia perlu dididik dan diberikan bimbingan yang betul dan sempurna sehingga menjadi generasi yang berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia berpandukan Al-Quran dan As-sunah,” tegasnya.
Generasi muda atau belia merupakan tiang dan sandaran negara serta menjadi sumber tenaga manusia yang sangat bernilai dan mereka juga diletakkan cita-cita serta harapan negara pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, sebagai harapan negara, belia memikul tanggungjawab yang amat besar di mana mereka ini perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiah, nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak dari kecil bagi menanai matlamat dan cita-cita negara yang dicintai.
Untuk melahirkan belia Brunei yang cemerlang, tegas khatib, antara ciri yang perlu dimiliki oleh belia ialah ‘Bepirawis’ iaitu bersikap sopan tentang percakapan, biasanya di hadapan orang tua-tua, orang atasan dan lain-lain.
Belia seharusnya mempunyai sikap hormat menghormati terhadap semua lapisan masyarakat sama ada golongan muda atau tua terutama dalam menerajui kepimpinan di kalangan masyarakat.
Umpama kata pepatah ‘Yang tua dihormati, yang muda disayangi’, belia seharusnya sentiasa bersikap sopan terhadap orang tua dengan menerima sebarang nasihat orang tua dan mengambil iktibar perkara yang baik.
Juga digalakkan golongan belia dan tua bersatu hati dalam membina dan membangun kemajuan belia di negara ini dan dari itu, integriti di antara dua golongan ini akan terjalin dan membentuk kekukuhan perpaduan bersama.
Belia menjadi tunggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa hadapan, di mana pentingnya belia dalam sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia sendiri yang akan membawa kepada kemajuan pembangunan negara.
Komitmen dalam mempersiapkan diri belia dengan acuan yang berkualiti adalah penting untuk melahirkan belia cemerlang sama ada dalam pendidikan, keperibadian dan kerohanian bahkan memiliki kemahiran, kreatif dan berdaya saing dalam pelbagai bidang seiring dengan kepesatan dan kemajuan dunia kini dan dinamik lagi mencabar.
Dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang bertenaga, kukuh, mantap dan menyeluruh, belia sentiasa bersedia dalam pembentukan dasar dan membuat keputusan bagi mencapai kecemerlangan tinggi sangat penting dan ini didukung melalui keperibadian yang ber-akhlak mulia, bertaraf dunia, bersedia dengan perubahan masa hadapan bagi pembangunan negara secara menyeluruh serta mengukuhkan nilai keBruneian.
Menurutnya lagi, strategi untuk mempersiapkan belia sebagai masa depan merupakan tanggungjawab secara bersepadu antara pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan awam (NGO) sebagai ejen utama dalam pembangunan negara.