Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia penentu hala tuju negara

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16, tahun 2021 akan diadakan pada 7 Ogos depan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan untuk berangkat bercemar duli ke majlis berkenaan.

    Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16 pada sidang media yang diadakan di Dewan Citra Budaya, KKBS, hari ini.

    Beliau menjelaskan, konsep untuk sambutan tahun ini memfokuskan kepada teknologi digital, kesukarelawan, keusahawanan dan kepimpinan, di mana tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini dikekalkan seperti 2019 dan 2020 iaitu ‘Belia Siaga Masa Depan’.

    Mengulas mengenai tema berkenaan, Pengiran Mohammad Amirrizal menekankan bahawa belia menjadi tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa depan. Betapa pentingnya belia pada sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia sebagai pemacu kemajuan pembangunan negara pada masa depan.

    Pengiran Mohammad Amirrizal semasa berucap pada sesi sidang media tersebut.

    Kemampuan belia menuju masa depan amat berkait rapat dengan mempersiapkan belia dengan ‘acuan’ yang berkualiti dan mampu mendepani pelbagai cabaran yang sukar diramalkan dengan cara yang bijak dan berwibawa.

    Menurut beliau lagi, belia masa depan adalah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian, tetapi juga belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang. ‘Belia Siaga Masa Depan’, jelas beliau, ialah belia bertaraf dunia sebagai agen perubahan yang siap siaga masa depan bagi pembangunan negara yang berakar umbi keinklusifan.

    Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab secara bersepadu antara pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan awam (NGO) sebagai agenda utama dalam pembangunan negara

    Beliau berkata, beberapa program telah disusun untuk dimuatkan dalam Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan itu nanti antaranya pengurniaan anugerah-anugerah Hari Belia Kebangsaan bagi 2020 dan 2021 dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang untuk belia, Pameran Hari Belia, dan Konvensyen Belia Brunei.

    Beberapa acara sampingan juga telah disusun seperti Majlis Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang akan diadakan pada 29 Julai di Masjid Universiti Brunei Darussalam, Khutbah Jumaat Khusus pada 30 Julai, Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja pada 2 Ogos dan Program Bas Belia yang akan diadakan pada 14 hingga 18 September 2021.

    Sehubungan itu, rakyat dan penduduk terutama golongan belia diseru untuk sama-sama memeriahkan sambutan dengan turut hadir ke majlis-majlis berkenaan di samping mendaftarkan diri dalam Konvensyen Belia Brunei untuk meraih peluang dan maklumat-maklumat menarik yang dikongsikan dan Pameran Hari Belia nanti.

    Sidang media turut dihadiri oleh beberapa ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16 iaitu Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat; Penyelaras Pameran Hari Belia, Dr Nuriskandar bin Mohd Hasnan dan Penyelaras Konvensyen Belia Brunei, Awang Muhd Amirul Syazmie bin Ibrahim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda