Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia peneraju masa depan negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Ke arah menjamin kemakmuran dan kemajuan negara agar sentiasa membangun secara berterusan, golongan pelapis iaitu belia amat diperlukan kerana mereka merupakan pewaris yang bakal menjadi pemimpin bagi menerajui negara di masa hadapan.

    Belia merupakan aset yang amat berharga sekali gus menjadi tonggak dan kekuatan masa depan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketokohan para belia dalam mencapai pembangunan negara lebih-lebih lagi ke arah merealisasikan Wawasan Negara 2035 sekali gus memperkasa Negara Zikir.

    Oleh itu, golongan belia perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul sehingga mereka menjadi insan-insan yang beriman, berilmu, beramal, dan mempunyai akhlak mulia berpandukan ajaran Islam. Ini kerana bimbingan tersebut akan mengukuhkan jati diri dan menjadikan mereka belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

    Antara sifat-sifat keperibadian yang perlu dimiliki golongan belia adalah mempunyai keimanan yang teguh dan tidak mudah goyah iaitu beriman kepada Rukun Iman yang enam iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab-kitab Allah, percaya kepada rasul, dan percaya kepada hari kiamat; serta percaya kepada qada dan qadar.

    Selain itu, para belia juga seharusnya mempunyai kekuatan dalaman dan luaran tanpa mengenal erti takut atau gentar dan berfikir secara positif dan berinovasi bagi mencapai cita-cita dan matlamat pembangunan agama, bangsa dan negara.

    Begitu juga belia-belia hendaklah sentiasa bekerja keras tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah kerana agama Islam tidak menggalakkan umatnya bersikap meminta-minta tetapi menitikberatkan usaha dengan titik peluh sendiri seperti dalam menjalankan perusahaan atau perniagaan secara kecil-kecilan.

    Kebangkitan jati diri belia ke arah meningkatkan lagi usaha dalam bidang masing-masing amat diperlukan dari semasa ke semasa antaranya melalui penciptaan seperti pengeluaran produk, pelaksanaan projek dan seumpamanya atau pun menghasilkan pendekatan-pendekatan baharu yang berupaya memberikan penyelesaian yang terbaik terhadap cabaran atau masalah yang dihadapi demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

    Golongan belia berusaha keras menjalankan perusahaan atau perniagaan kecil-kecilan. – Gambar fail
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda