Masih dalam fasa bulan madu, Bella Hanna, 28, dan suami, Redza Rosli, 32, bagaimanapun tidak seperti pasangan pengantin baharu lain yang kerap berkongsi foto mesra dalam media sosial.
Menyedari tidak semua orang suka melihat kebahagiaan individu lain, Bella dan Redza berpada-pada dalam membuat perkongsian dalam media sosial.
Bella bagaimanapun mengakui tiada masalah melihat rakan selebriti berkongsi kebahagiaan dengan pasangan dalam media sosial kerana menganggap ia adalah pilihan masing-masing.
Namun, kata Bella, dia sebaliknya akur dan menghormati permintaan suami yang sangat menjaga privasi.
“Suami sangat menjaga privasi dan sudah jadi sifatnya sejak dahulu. Kami kongsi sikit-sikit sahaja. Kami sentiasa beringat kerana tidak semua orang suka kita,” katanya kepada BH Online.
Berkenalan dengan suami ketika terbabit dalam drama Luruhnya Bunga Cinta, Bella mengakui sering diajukan pertanyaan mengenai zuriat.
Bella atau nama sebenar, Farhana Nabila Rosman berkata, mereka menyerahkan soal cahaya mata kepada takdir.
“Kami tidak merancang, jika Allah kurniakan zuriat, pasti kami amat bersyukur. Kami baru lima bulan berkahwin, jadi tidaklah terburu-buru timang cahaya mata,” katanya.
Mengulas dakwaan dirinya menumpang populariti Redza untuk mencipta nama dalam dunia lakonan, Bella berkata, perkara itu tidak timbul kerana setiap orang ada keunikan tersendiri.
“Saya ada keunikan tersendiri dalam lakonan, suami juga ada kelebihannya. Sebelum berkahwin pun sudah ada tawaran berlakon yang saya peroleh,” katanya.
Redza dan Bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun lalu pada majlis secara tertutup di Cheras dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat. – Agensi