Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bendera besar berkibar megah

    Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bendera besar Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah di pusat Bandar Seri Begawan hari ini yang menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 bagi 2023.

    Upacara menaikkan bendera besar Negara Brunei Darussalam telah diadakan di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pagi tadi di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

    Upacara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum anggota Tentera Laut Diraja Brunei dan pasukan pembawa bendera yang terdiri daripada pasukan Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) berarak masuk bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar Negara Brunei Darussalam daripada tetamu kehormat majlis.

    Penyempurnaan upacara menaikkan bendera besar negara telah diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh kumpulan koir yang dianggotai oleh 39 orang pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan termasuk para belia serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan dua buah lagu patriotik, ‘Berkibarlah Bendera’ dan ‘Bendera Negaraku’ bersama kibaran bendera kecil.

    Pembawa bendera bersedia untuk upacara pengibaran bendera besar di kawasan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bendera besar negara kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei dan pasukan pembawa bendera.
    Haji Amirol Hafidzin menyerahkan bendera kepada anggota PPDB pada majlis yang diadakan di Menara Cendera Kenangan.
    Awang Mohammad Sofian hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus menyerahkan bendera kepada anggota PPDB.
    Pengiran Muhammad Ameer Mubarak semasa menghadiri majlis pengibaran bendera yang berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar.
    Pasukan koir membuat persembahan semasa upacara tersebut.

    Upacara juga diteruskan dengan majlis penyampaian bendera-bendera negara bersaiz sederhana dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 kepada pegawai-pegawai daerah bagi keempat-empat daerah.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan selaku timbalan pengerusi bersama sambutan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) serta para jemputan lain.

    Berikutan upacara di ibu negara itu, upacara menaikkan bendera dan pengagihan bendera telah diadakan di keempat-empat daerah.

    Di Daerah Brunei dan Muara, upacara berlangsung di kawasan letak kereta Jabatan Daerah Brunei dan Muara di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Di Daerah Temburong, majlis diadakan di kawasan Dermaga Pekan Bangar dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Bagi Daerah Tutong pula, ia diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Manakala itu, bagi Daerah Belait, upacara berlangsung di Menara Cendera Kenangan yang dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad selaku tetamu kehormat.

    Dengan berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, tahun 2023 di kediaman masing-masing dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai hari ini sehingga 25 Februari.

    Pengiran-pengiran akan mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran akan mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai pula hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...