Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel bimbing belia menulis esei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Ke arah membimbing penulis-penulis muda dalam genre penulisan karya kreatif dan non-kreatif, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk menyertai bengkel penulisan asas karya kreatif dan non-kreatif sastera.

    Sementara itu, hari ini, Bahagian Sastera dan Majalah, DBP telah menganjurkan Bengkel Penulisan Esei 2019 di Bilik Patih Barbai, DBP.

    Bengkel dibimbing oleh ahli Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Brunei Darussalam, Dr Haji Morsidi bin Haji Muhamad yang juga merupakan pengkritik sastera Negara Brunei
    Darussalam.

    Bengkel tersebut dihadiri lebih 30 orang peserta daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan bidang penulisan yang berumur antara 15 hingga 40 tahun yang berminat dalam penulisan karya kreatif dan non-kreatif serta pernah menghasilkan karya dalam majalah-majalah terbitan DBP mahu pun luar jabatan.

    Antara tujuan bengkel berkenaan adalah untuk membimbing penulis-penulis muda dalam genre penulisan esei, memperluas wawasan pengetahuan dalam teknik penulisan melalui pertukaran pengalaman kreatif antara peserta dengan pembimbing.

    Dengan adanya bengkel berkenaan, ia diharap menjadi medan pemilihan peserta Negara Brunei Darussalam dalam menyertai projek atau program peringkat serantau seperti Program Penulisan MASTERA, 2019 di Jakarta serta program-program pemasyarakatan sastera yang diungkayahkan oleh MASTERA.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan DBP, Bengkel Penulisan Drama 2019 juga akan diadakan esok dengan dibimbing oleh ahli MASTERA Brunei Darussalam, Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff yang merupakan penerima S.E.A Write Award dan ketua Kumpulan Putra Seni.

    Antara yang menyertai bengkel tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda