Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bengkel fotografi digital tarik 40 peminat seni

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kira-kira 40 orang peminat seni fotografi telah mendalami lagi bidang berkenaan terutamanya fotografi landskap menerusi bengkel fotografi digital yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Bengkel yang dikendalikan oleh jurugambar landskap pakar dari Kanada, Chris Collacott itu dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi pertama bagi jurugambar amatur iaitu termasuk orang yang kelainan upaya (OKU) dan sesi kedua bagi jurugambar berpengalaman.

    Semasa sesi bengkel berkenaan, Collacott telah memberikan tunjuk ajar kepada para peserta mengenai penggunaan telefon pintar dan kamera digital mereka bagi menghasilkan gambar yang bermakna serta berkualiti tinggi.

    Beliau turut mendedahkan teknik dan kaedah yang sering digunakan oleh jurugambar bagi menghasilkan karya seni gambar yang menawan serta menerangkan mengenai pemilihan ruangan di sekeliling untuk menjadikan gambar yang diambil lebih menarik dilihat.

    Collacott merupakan seorang jurugambar berpengalaman yang telah banyak memenangi anugerah di mana beliau kini berada di Negara Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada sebuah projek bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan Negara Brunei Darussalam ke-40.

    PYT Ambra Dickie (kanan) mengalu-alukan kehadiran para peserta di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    PYT Ambra Dickie bergambar ramai dengan para peserta sesi pertama bengkel. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Projek itu akan menyaksikan penghasilan koleksi gambar yang merakamkan warga Brunei serta aktiviti dan acara yang diadakan di Brunei pada 2024. Ratusan gambar akan disambungkan secara digital bagi menghasilkan gambar gigapixel yang akan memperingati sambutan Hari Kebangsaan ke-40.

    Projek yang dinamakan BN40 itu telah diasaskan bersama oleh seorang usahawan Brunei, Keeran Janin dan mengetengahkan pasukan wanita tempatan yang mengendalikan operasi utama projek berkenaan.

    Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam telah menaja sebahagian penyertaan jurugambar Kanada itu sebagai sebahagian daripada sambutan bagi meraikan hubungan diplomatik ke-40 antara Kanada dan Brunei pada 2024.

    Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie menyatakan bahawa pihaknya amat teruja kerana berpeluang terlibat sama dalam projek berkenaan.

    Menurutnya lagi, penglibatan jurugambar tempatan dan OKU merupakan salah satu cara suruhanjaya tinggi Kanada agar dapat menyumbang kepada projek BN40 yang mencerminkan kepelbagaian dan usaha inklusif yang diutamakan oleh suruhanjaya tinggi berkenaan pada 2024 serta meraikan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan ulang tahun hubungan diplomatik antara Kanada dan Brunei.

    PYT Ambra Dickie menyatakan harapan menerusi penyertaan mereka dalam bengkel berkenaan, serta para peserta akan memperoleh pengetahuan yang berguna dan keyakinan dalam mengambil gambar melalui bimbingan seorang jurugambar profesional, Chris Collacott.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...