Oleh Nur Natasha Aida Ismail
SEREMBAN – Sekali pandang memang tidak ada bezanya cara mereka bekerja dengan orang biasa namun jika diperhati secara teliti barulah penulis dapat melihat ada yang tidak mempunyai kaki dan ada yang bercakap menggunakan bahasa isyarat.
Mereka yang begitu tekun bekerja itu adalah sebahagian daripada 46 orang pekerja Bengkel Seri Sembilan yang terletak di Mambau, kira-kira 20 minit perjalanan dari Seremban.
Menurut pengurus bengkel ini, Harunarrsheed Mohd Ibrahim, kesemua pekerja pada masa ini diselia oleh 10 orang kakitangan pengurusan termasuk tiga daripadanya adalah OKU. Sebahagian besar pekerja itu adalah dari Negeri Sembilan.
Beroperasi sejak 1977, ia ditubuhkan bagi menyediakan peluang untuk golongan OKU mendapat latihan kemahiran bagi membolehkan mereka bekerja di Bengkel itu kemudiannya dan memperolehi pendapatan. Pekerjaan yang ditawarkan antaranya mencetak dan melipat sampul surat, pertanian, penternakan dan menjahit.
Proses temuduga
Menurut Harunarrsheed, proses pengambilan pekerja bermula dengan sesi temuduga. Mereka yang berjaya akan dilatih selama tiga bulan sebelum diserap sebagai pekerja. Sepanjang tempoh latihan, mereka diberi peluang melakukan pelbagai jenis tugasan untuk melihat kemampuan serta kebolehan masing-masing.



“Kalau cekap, tidak sampai sebulan kita akan serap mereka sebagai pekerja. Ada pekerja yang dua minggu sudah mahir kerja dan boleh bekerja seperti biasa. Namun seandainya selepas dilatih dan mereka dapat peluang lebih baik di luar sana, kita tidak halang.
“Saya selalu pesan pada keluarga mereka, tempat ini ibarat tempat persinggahan sementara menanti destinasi lain yang lebih baik. Matlamat kami untuk membantu sementara mereka tidak ada peluang lain,” katanya yang sudah memegang jawatan pengurus bengkel ini sejak 2016.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekiranya ada pelatih yang tidak mampu melakukan walau satu pun jenis tugasan, pihaknya terpaksa meminta agar keluarga pelatih itu membawanya pulang.
Hasilkan sampul surat pekerjaan utama
Pekerjaan utama Bengkel Seri Sembilan ini adalah membuat, membekal, menghantar dan menyerahkan sampul surat bercetak alamat dan logo jabatan ke agensi serta jabatan kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan syarikat swasta.
Menurut Harunarrsheed, buat masa ini bengkel ini bertanggungjawab menyediakan pesanan sampul surat daripada lebih 400 jabatan kerajaan. Jualan sebulan yang diperoleh, antara RM100,000 hingga RM120,000, bergantung kepada saiz sampul surat.
“Dalam proses membuat sampul surat ini, pekerja kita ada yang di bahagian mesin cetak, mesin potong, mesin lipat dan bahagian melipat secara manual. Bahagian yang melibatkan mesin biasanya kita bagi pada pekerja OKU fizikal dan tidak melibatkan pekerja OKU pemikiran iaitu yang mempunyai masalah pembelajaran.
“Di bahagian melipat secara manual juga kita kena teliti. Pekerja yang tidak boleh melakukannya dengan kemas, kita minta dia bekerja di bahagian lain seperti pertanian,” katanya.
Pendapatan bergantung kepada kemampuan
Pendapatan setiap pekerja tidak sama tetapi mereka boleh memperolehi minimum RM10 sehari manakala pendapatan bulanan boleh mencecah sehingga RM900.
Untuk mereka yang bekerja di bahagian cetak menggunakan mesin, gaji dibayar mengikut hari antara RM30 ke RM35 sehari.
“Kalau yang bahagian melipat secara manual mereka boleh jana pendapatan dalam RM250 ke RM600. Kita bayar ikut berapa keping yang dia boleh hasilkan dalam sehari. Kita galakkan jika mereka yang mahu buat kerja lebih masa. Harunarrsheed berkata pekerja di bengkel ini bekerja lima hari seminggu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dan potongan caruman KWSP serta Perkeso juga ada dibuat.
Tambah beliau, memandangkan pekerja di sini menginap di asrama yang disediakan dengan makan dan minum juga ditanggung, ada dalam kalangan pekerja yang mampu menyimpan lebih RM60,000 sepanjang berkhidmat di Bengkel Seri Sembilan.
Teroka potensi baharu
Menurut Harunarrsheed, penggunaan sampul surat pada hari ini dilihat agak ‘menguncup’ kerana rata-rata pejabat sudah menggunakan mesin faks, e-mel dan sebagainya.
“Saya jangka dalam masa 10 tahun lagi tempahan sampul surat ini boleh berkurang kepada setengah jumlah tempahan semasa. Untuk itu saya sudah mula mencari aktiviti baharu untuk memastikan pekerja di sini boleh terus bekerja di samping menjamin pendapatan bengkel, ” katanya.
Harunarrshedd berkata setakat ini, projek pertanian dan penternakan dilihat berpotensi untuk dikembangkan dan bersesuaian dengan kemampuan pekerja sedia.
Daripada 5.6 hektar keluasan kawasan Bengkel Seri Sembilan, 0.8 hektar digunakan untuk projek tanaman pisang, serai dan ubi kayu dalam skala sederhana besar serta tanaman sayur seperti kailan dan kangkung.
“Kami juga menanam pokok buah-buahan seperti durian, durian belanda, mangga, nangka, cempedak, manggis, kelapa, longan dan cendawan. Di samping itu, kami juga bela ayam yang dijaga pekerja di sini. Saya bercadang untuk buat ternakan lain seperti lembu, ” katanya sambil menambah, pihaknya juga mengusahakan tanaman cili sejak Januari 2019 dan menyasarkan menanam 5,000 polibeg cili.
Di samping cili, tanaman cendawan turut diusahakan dengan jualan antara RM500 hingga RM600.
Berasa bertuah
Bagi Yee Sen Sai, 42, yang kehilangan sebelah kakinya selepas terlibat dalam kemalangan 12 tahun lalu, menganggap dirinya cukup bertuah kerana diterima untuk bekerja di Bengkel Seri Sembilan ini.
“Saya bekerja di kilang membuat dan memasang jubin sebelum kemalangan. Motosikal saya dilanggar sebuah lori. Saya tak dapat bekerja kerana terpaksa menjalani rawatan dan fisioterapi. Seorang doktor fisioterapi kemudiannya mencadangkan kepada saya untuk bekerja di Bengkel Seri Sembilan dan tanpa berlengah saya terus ke bengkel ini untuk temuduga dan diterima bekerja,” katanya.
Yee yang masih belum berkahwin berkata, Bengkel Seri Sembilan kini menjadi sinar baharu buat dirinya kerana di tempat ini jugalah beliau mampu menunjukkan keupayaan serta kemampuannya untuk bekerja untuk menyara diri.
“Kerja di sini memang sangat mudah, asrama juga disediakan memang memudahkan saya bekerja. Pekerjaan saya di sini melipat sampul-sampul surat secara manual,” katanya menambah beliau kini mampu menjana pendapatan bulanan anggaran RM1,000.
Rezeki tukang jahit
Pasangan suami isteri, Ibrahim Idrus, 65, dan Jamahina Sulong, 58, sudah lapan tahun bekerja sebagai tukang jahit di bengkel ini. Mereka bersyukur dapat bekerja di bengkel itu kerana ada kemudahan asrama yang berhampiran dengan tempat bekerja.
Ibrahim dilahirkan dalam keadaan normal semasa kecil tetapi ketika berusia dua tahun, beliau diserang demam panas sehingga membuatkan dirinya tidak boleh bergerak seperti kanak-kanak biasa.
Jamahina pula mengalami gangguan saraf kerana kecederaan dibahagian kepala akibat terkena serpihan batu daripada kerja-kerja memecahkan batu sebuah kuari. Kecederaan itu membuatkan beliau tidak dapat berjalan seawal usia 17 tahun.
Ibrahim dan isterinya, kedua-dua mereka menggunakan kerusi roda untuk bergerak memandang kedua-dua belah kaki mereka tidak dapat berfungsi dan mereka menggunakan tangan sepenuhnya dalam menjalankan setiap pekerjaan mereka.
Tambah Ibrahim, meskipun pendapatan di bengkel ini tidaklah semewah pendapatannya ketika menjalankan perniagaan sendiri sebelum ini, namun kemudahan yang disediakan di sini serta program kerohanian yang turut disediakan melengkapkan kehidupan mereka suami isteri dalam meniti hari tua.
“Di sini bukan setakat bekerja, makan minum semua ditanggung, api air pun tidak perlu bayar ditambah lagi dengan program riadah, kerohanian, lawatan dan pemeriksaan kesihatan juga ada disediakan.
“Memang saya selesa sangat bekerja di sini. Pendapatan kami suami isteri jika digabungkan hanya mencecah RM1,000 lebih tetapi saya cukup bersyukur kerana ada pihak yang menghargai kemampuan kami yang serba kekurangan ini,” katanya.
Beliau yang memiliki tiga anak iaitu masing-masing berusia 33 hingga 38 tahun akan kembali ke rumah sewanya di Gadong, Labu setiap minggu untuk bersama anak-anak dan menguruskan rumah. – Bernama