Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bengkel tingkat kemahiran pustakawan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Seramai 23 orang peserta dari universiti dan institusi pengajian tempatan telah menyertai bengkel berjudul 3-D Training Approach: Design, Develop, Deliver anjuran Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Perpustakaan Singapore Management University (SMU), bertempat di Perpustakaan UBD, baru-baru ini.

    Pengungkayahan bengkel selama dua hari bermula 27 November lalu itu sekali gus menandakan berakhirnya acara Program Maklumat dan Digital Literasi anjuran usaha sama antara kedua-dua buah perpustakaan institusi pengajian tinggi tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Naib Canselor Korporat dan Pentadbiran UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Ketua Pustakawan Perpustakaan UBD, Haji Awang Muhammad Yussuf bin POKIDDP Haji Awang Musa, antaranya menekankan peranan penting kemahiran digital dalam landskap maklumat dinamik hari ini.

    Bengkel komprehensif berkenaan telah dikendalikan oleh fasilitator dari Pembelajaran dan Penglibatan, Perpustakaan SMU, Rajendra Munoo dan Li Zhenyan, yang memberikan tumpuan kepada menangani aspek utama dalam membangunkan kandungan pelajaran yang memberikan impak, meningkatkan keyakinan dalam penyampaian bengkel dan mencipta strategi-strategi untuk memperkukuh program-program literasi maklumat.

    Gambar ramai semasa bengkel tersebut baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN UBD
    Antara aktiviti yang dijalankan semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UBD

    Sementara itu, Rajendra dalam ucapannya pada majlis makan malam penghargaan pada 28 November lalu, memuji kejayaan kerjasama bengkel berkenaan. Beliau berpendapat bengkel berkenaan menjadi inisiatif terbaik terhadap kakitangan, meneruskan pembangunan profesional dan meningkatkan kemahiran mereka.

    Rajendra turut menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dan aplikasi praktikal pengetahuan dalam mencapai hasil yang signifikan untuk perpustakaan dan profesion maklumat.

    Salah seorang peserta dari Perpustakaan UBD, Dayangku Nur Rabi’ah binti Pengiran Haji Abdul Rahman turut berkesempatan mengongsikan bahawa bengkel berkenaan bukan sahaja memberikan para peserta pandangan yang berharga tetapi juga bertujuan untuk mewujudkan penanda aras bagi pustakawan sebagai pendidik.

    “Kami diberikan peluang untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh semasa amalan mikropengajaran pada hari kedua bengkel. Hal ini menyumbang kepada pengembangan dan pengukuhan kaedah pengajaran kami, seterusnya meluaskan spektrum perkhidmatan perpustakaan,” ujarnya.

    Majlis makan malam penghargaan itu turut diserikan dengan sesi penyampaian sijil kepada fasilitator, peserta, dan wakil jawatankuasa penganjur yang disempurnakan oleh Profesor Madya Pengiran Dr Mohd Iskandar sekali gus sesi bergambar ramai dan merakam detik-detik perkongsian pengalaman pembelajaran dan pencapaian bersama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...