Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tingkat pemahaman prinsip, metodologi perakaunan karbon

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Seramai 61 orang peserta dari negara-negara anggota ASEAN menyertai Bengkel ASEAN mengenai Perakaunan Karbon Hutan bermula 28 April hingga 1 Mei.

    Bengkel anjuran bersama oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BCCO) dengan sokongan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jerman melalui Program Tindakan Iklim ASEAN-Jerman (GIZ-CAP), menyaksikan pembukaan bengkel dihadiri oleh Pemangku Pengarah Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

    Para peserta bengkel berkenaan telah dicalonkan oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut (ATFP) yang bertanggungjawab dalam perakaunan karbon di hutan dan tanah gambut, dan Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Perubahan Iklim (AWGCC) yang bertanggungjawab dalam pasaran karbon dan Artikel 6 Perjanjian Paris serta wakil dari Sekretariat ASEAN.

    Bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan kapasiti peserta supaya dapat melaksanakan perakaunan dengan tepat bagi pelepasan karbon dan penyerapan dalam ekosistem perhutanan dan tanah gambut serta memahami sepenuhnya peluang pasaran berhubung dengan pengimbangan pelepasan karbon.

    Ia juga bermatlamat untuk memberi pemahaman yang menyeluruh tentang prinsip dan metodologi perakaunan karbon serta membangunkan kemahiran praktikal dalam mengaplikasikan metodologi itu dalam konteks perhutanan dan tanah gambut.

    Awang Reni bergambar ramai bersama para peserta bengkel yang bermula dari 28 April hingga 1 Mei. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERHUTANAN
    Awang Reni hadir pada pembukaan bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERHUTANAN

    Bengkel itu akan merangkumi topik-topik utama berkaitan perakaunan karbon hutan, dimulakan dengan pengenalan kepada dasar dan piawaian antarabangsa termasuk peranan Artikel 6 Perjanjian Paris dalam menyokong pencapaian Nationally Determined Contribution (NDC) dan pembiayaan iklim melalui pasaran karbon.

    Peserta akan didedahkan kepada prinsip asas perakaunan karbon dan kepentingannya dalam mitigasi perubahan iklim.

    Sesi teknikal akan memberi tumpuan kepada perakaunan karbon hutan dan tanah gambut, termasuk anggaran pelepasan daripada sektor Guna Tanah, Perubahan Guna Tanah dan Perhutanan (LULUCF), kaedah penderiaan jauh, pengiraan stok karbon, reka bentuk pensampelan serta sistem Pemantauan, Pelaporan dan Pengesahan (MRV).

    Latihan itu turut akan membincangkan piawaian utama kredit karbon seperti Verra, Gold Standard dan ART TREES, perbandingan metodologi, serta kajian kes dari negara-negara ASEAN.

    Bengkel itu akan merangkumi keseluruhan kitaran pembangunan projek karbon iaitu daripada penyediaan reka bentuk projek dan senario asas, ke proses pengesahan, pemantauan serta penilaian impak alam sekitar dan sosial.

    Bengkel berkenaan juga akan merangkumi demonstrasi praktikal di hutan tanah gambut iaitu di hutan paya gambut Badas, Daerah Belait.

    Aktiviti yang akan dijalankan termasuk pensampelan bagi pengukuran stok karbon dan pengumpulan data untuk penilaian aliran karbon.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda