Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Kecanggihan teknologi dan kepesatan prasarana semata-mata bukan sekadar pengukur kemodenan dan tahap kemajuan sesebuah negara khasnya dalam kepesatan era globalisasi masa kini.
“Sebaliknya, acuan kemajuan perlu seiring dengan pembangunan insan yang sentiasa taat dan patuh menghayati nilai agama,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi yang diadakan di Dewan Plenari Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, malam ini.
Duli Yang Teramat Mulia turut menekankan dalam sabdanya bahawa kemajuan tanpa akhlak akan akhirnya membawa kepincangan.
“Sejarah kegemilangan tamadun Islam adalah terbina atas keutuhan nilai akhlak dan iman yang ditunjangi dengan sempurna sebagaimana acuan keperibadian serta kepemimpinan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Oleh yang demikian, peri mustahaknya penghayatan nilai Al-Quran untuk diterjemahkan menerusi pengisian rutin kehidupan, di mana rumah adalah institusi tarbiah terawal dalam membentuk sahsiah dan mendidik generasi Al-Quran.

“Golongan pelajar dan belia adalah tunas bangsa yang akan seterusnya mengambil peranan yang lebih besar sebagai aset dan peneraju pembangunan negara serta pewaris bangsa yang akan terus menegakkan syiar Islam di bumi Darussalam yang kita cintai.
“Pada hemat saya, di sinilah keperluannya bagi pihak yang berkenaan untuk memanfaatkan pelbagai perkembangan berkaitan yang menjurus kepada meningkatkan minat serta memperluas akses kepada masyarakat bagi mengikuti program pengajian tertentu yang bersinambung dengan usaha untuk memartabatkan Al-Quran dan syiar di negara ini,” tekan Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Dalam hubungan ini, sabdanya lagi, adalah bersesuaian bagi pihak berkepentingan untuk seterusnya meraih manfaat kecanggihan platform infokomunikasi khasnya di dalam bidang pembelajaran dalam talian sebagai peluang tambahan mendekatkan masyarakat untuk mendalami nilai-nilai akhlak yang tersirat menerusi program-program tarbiah dan pengajian Al-Quran termasuk As-Sunah ke arah melahirkan generasi Al-Quran yang menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni Islam.”
Al-Quran itu adalah mukjizat agung dalam merawat kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup sebagai utap kepada ummah dalam mendepani berbagai cabaran sepanjang zaman. Justeru, amalan dan budaya memartabatkan Al-Quran dengan niat baik adalah tuntutan untuk meraih berkah dan rahmat Allah Azza Wa Jalla.
“Semakin kerap kita berinteraksi dengan Al-Quran maka semakin berkah waktu yang kita miliki,” tambah Duli Yang Teramat Mulia.
Di samping usaha berterusan pihak kerajaan dalam memperkasa kemahiran dalam bidang taranum Al-Quran, para qari dan qariah muda adalah diseru untuk berusaha mempertingkatkan kemahiran dengan rajin berguru.
Sementara itu, para tenaga pengajar juga turut dikehendaki untuk terus berusaha membekalkan kemahiran dengan mendalami kaedah-kaedah taranum yang sentiasa dikemas kini seiring dengan keperluan untuk melahirkan generasi qari dan qariah yang berpotensi dan berkaliber.
“Alhamdulillah, dalam usia musabaqah kebangsaan mencapai 63 tahun, sudah setentunya ramai qari dan qariah tempatan yang telah dilahirkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam mana nama negara juga telah mendapat tempat di persada bidang taranum Al-Quran.
“Taranum sebagai salah satu bidang kemahiran yang sudah matang serta pesat berkembang di seluruh jagat dengan generasi demi generasi bersilih melangkah aktif ke hadapan untuk terus mendalaminya menerusi berbagai-bagai variasi penyampaian dan kemahiran. Laluan bagi meningkatkan kemahirannya akan semakin mencabar ke arah memelihara serta mengekalkan keaslian dan hukum-hakamnya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Mengambil sukut tema musabaqah, iaitu ‘Bertemankan Al-Quran Sepanjang Zaman’, Duli Yang Teramat Mulia turut menekankan agar penduduk negara ini menanamkan minat serta melestarikan budaya mencintai seni pembacaan Al-Quran secara taranum yang diserapkan seawal usia khususnya kalangan pelajar dan belia di mana keberhasilannya adalah sebagai wadah untuk mengukuhkan pembangunan generasi yang menjadikan kitab suci Al-Quran sebagai teman sejati duniawi dan ukhrawi.