Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Berangkat hadiri Sesi Pembukaan World Climate Action Summit

    DUBAI, 3 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berkenan berangkat menghadiri Sesi Pembukaan World Climate Action Summit dan first part of the High Level Segment bagi Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan di the 28th Conference of the Parties of the United Nations Framework Convention on Climate Change (COP 28) yang berlangsung di Expo City, Dubai.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke acara-acara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    KDYMM Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat menghadiri Sesi Pembukaan World Climate Action Summit. – Gambar oleh Infofoto

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Al Wasl Dome dialu-alukan oleh Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemimpin Abu Dhabi, His Highness Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama António Guterres.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan yang lainnya kemudian beredar bagi sesi bergambar ramai sebelum menghadiri Sesi Pembukaan World Climate Action Summit yang berlangsung di Al Waha Theatre.

    Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Plenary Al-Hairat bagi menghadiri High Level Segment bagi Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan COP 28.

    Semasa High Level Segment tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah menekankan bahawa perubahan iklim merupakan cabaran yang paling mendesak dan mengancam kehidupan generasi ini.

    KDYMM berkenan mengurniakan titah pada World Climate Action Summit High Level Segment sempena COP28, Dubai. – Gambar oleh Infofoto

    Oleh demikian, tindakan yang segera adalah diperlukan bagi memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Paris, yang mana hasil awal bagi laporan pertama ‘Global Stocktake’ telah menunjukkan bahawa dunia terbabas dari menghadkan peningkatan suhu global ke 1.5 darjah Celsius.

    Dalam hal itu, Baginda menyeru negara-negara maju untuk menunaikan komitmen yang lalu serta menyediakan sumber yang mencukupi dan teknologi mampu milik kepada negara-negara membangun untuk menangani impak perubahan iklim.

    Meskipun menyumbang kepada hanya 0.017 peratus daripada pengeluaran gas rumah hijau global, Negara Brunei Darussalam kekal komited terhadap menangani perubahan iklim.

    Oleh itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam mengimbangkan pembangunan negara dengan perlindungan alam sekitar, sekaligus mengejar pertumbuhan ekonomi mampan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam juga aktif dalam mempelbagaikan campuran tenaga dengan mengutamakan tenaga yang dapat diperbaharui.

    Melalui kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan, termasuk sektor belia dan swasta, Negara Brunei Darussalam akan memenuhi sasaran untuk mengurangkan 20 peratus daripada pengeluaran gas rumah hijau menjelang tahun 2030, sepertimana yang dinyatakan dalam ‘Nationally Determined Contributions’ negara.

    Menyentuh mengenai tindakan iklim serantau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam juga telah menerajui usaha dalam bidang tersebut dan akan menghoskan ASEAN Climate Centre for Climate Change.

    Pusat itu akan memudahcarakan peningkatan usaha mitigasi dan adaptasi dalam menangani perubahan iklim di Asia Tenggara melalui penyelidikan, analisa, pertukaran data dan cadangan dasar.

    Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam bagi semua Negara Anggota dan pertubuhan antarabangsa yang berminat untuk memastikan pusat serantau tersebut akan dapat memberikan sumbangan bermakna terhadap usaha-usaha global.

    Terdahulu sebelum itu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Presiden COP 28, U.A.E Special Envoy for Climate Change dan Minister of Industry and Advanced Technology, Tuan Yang Terutama Dr Sultan Ahmed Al-Jaber; Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi; Presiden Perhimpunan Agung PBB, Tuan Yang Terutama Dennis Francis; dan Setiausaha Agung PBB.

    Ketua-Ketua Kerajaan Dunia bergambar ramai di Al Wasl semasa UN Climate Change Conference COP28 di Expo City Dubai. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...