Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat ke China 6 Feb

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China di Beijing pada 6 Februari ini dan seterusnya menghadiri Majlis Pembukaan Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 pada 7 Februari di Harbin, Wilayah Heilongjiang, China.

    Semasa di Beijing nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan mengadakan perjumpaan-perjumpaan berasingan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping; Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China ke-14 bagi Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Zhao Leji bagi mengesahkan kembali hubungan dua hala dan seterusnya mempertingkatkan lagi kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan kepada kedua-dua buah negara serta kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

    Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China menjalinkan hubungan diplomatik pada 30 September 1991, di mana hubungan ini telah dipertingkatkan kepada peringkat Perkongsian Kerjasama Strategik pada 19 November 2018.

    Brunei dan China juga berkongsi hubungan mesra dan rapat yang sudah lama terjalin melalui pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan perikanan, belia, sukan, pelancongan, kebudayaan dan pertukaran antara rakyat.

    Kedua-dua buah negara juga bekerjasama rapat dalam projek-projek, antaranya ialah Ekonomi Koridor Brunei Guangxi (BGEC), Hengyi Industries Sdn Bhd dan Beibu Gulf Holdings Co Ltd.

    Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Beijing adalah pada bulan April 2019 bagi menghadiri Forum Jalan dan Jalur Kedua bagi Kerjasama Antarabangsa.

    Manakala kali terakhir Baginda Sultan mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China adalah pada bulan September 2017.

    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Tidak sengaja