BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKTOBER 2006 – Keluarga Hajah Nafisah Mat Salleh bakal menyambut hari Raya Aidilfitri dalam keadaan suram setelah rumah yang didiaminya bersama 11 anggota keluarga di Kampung Jaya Setia, Perpindahan Berakas hangus dalam kebakaran.
Kebakaran pada waktu tengah hari mengakibatkan bahagian atas rumah dua tingkat separuh konkrit yang berusia lebih 40 tahun itu musnah.
Di sebalik musibah yang menimpanya, semua penghuni yang terdiri daripada dua buah keluarga terselamat.
Pegawai Pemerintah Operasi C, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penguasa Rannee Haji Othman yang mengetuai operasi memadamkan kebakaran itu berkata, mereka menerima panggilan kecemasan daripada jiran mangsa pada 12:26 tengah hari.
Sebaik menerima panggilan itu, tiga jentera bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Berakas dan sebuah jentera dari balai Bandar Seri Begawan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 25 anggota penyelamat termasuk sembilan anggota bomba wanita.
Penguasa Rannee berkata kebakaran berjaya dikawal 21 minit kemudian dengan sebahagian besar kemusnahan ialah di bahagian atas rumah berkenaan.
Hasil operasi menyelamat itu mendapati semua anggota keluarga berjaya meninggalkan rumah berkenaan dengan bantuan jiran-jiran yang mengeluarkan mereka daripada terperangkap.
Jirannya juga bertindak menghubungi bomba dan membantu menyelamatkan keluarga mangsa daripada terperangkap di dalam rumah.
Pada sebelah petang, seramai empat pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menyampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada mangsa kebakaran yang diketuai oleh Haji Tala’ah.