Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berganding bahu atasi pencemaran plastik di Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), menerusi Kempen Negara Mapan Siri SME 360, telah meneruskan lagi Siri Eco Chat hari ini, dengan memfokuskan terhadap keperluan untuk berganding baharu memerangi pencemaran plastik di Brunei.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, Siri Eco Chat berkenaan menampilkan beberapa orang penceramah iaitu Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Dayang Martinah binti Haji Tamit; Pengasas Bersama Kaimana Living, Tiffany Lai; Penyelidik dan Setiausaha Pertama Reef Check Brunei, Emily Yong dan Pengasas Bersama Kilang ReRoot, Dayang Syamilah Osman.

    Forum mengetengahkan mengenai kesan berbahaya penggunaan plastik sekali guna terhadap ekosistem dan bagaimana ekonomi sirkular boleh memainkan peranannya dalam perlindungan alam sekitar di Brunei.

    Menekankan situasi pencemaran plastik di Brunei, Dayang Martinah berkata bahawa kira-kira 16 peratus daripada bahan buangan keseluruhan di Brunei adalah bahan-bahan plastik dan isu berkenaan membimbangkan negara.

    Beliau berkata, pencemaran plastik merupakan perjuangan yang berpanjangan dan sukar di Brunei, sementara terdapat pelbagai inisiatif dan dasar telah dilaksanakan oleh kerajaan, masih terdapat ruang bagi penambahbaikan untuk mencapai sistem pengurusan sampah yang mapan dan cekap di negara ini.

    Barisan penceramah pada Siri Eco Chat, kelmarin, yang memfokuskan mengenai pencemaran plastik di
    Brunei. – Gambar serahan BIBD

    Beliau juga menyeru bagi lebih banyak sokongan dan penyertaan daripada setiap individu dan organisasi untuk memastikan agenda mapan itu dapat dicapai.

    Sementara itu, Dayang Syamilah pula berkata, sementara rakyat Brunei menyedari akan perjuangan membasmi pencemaran plastik, terdapat keperluan untuk meningkatkan usaha berkenaan.

    Tiffany Lai pula mencadangkan bagi lebih banyak pengawasan daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dan kempen-kempen kesedaran.

    Ini dipersetujui oleh Emily Yong yang membangkitkan kebimbangannya mengenai isu bahan-bahan buatan plastik seperti jaring tersekat di terumbu karang yang memusnahkan ekosistem dan kehidupan marin.

    Di penghujung sesi dialog itu, para penceramah menggalakkan orang awam untuk komited dan menyumbang kepada agenda membasmi pencemaran plastik di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda