Oleh Sim Y.H. –
Dalam menghadapi dunia yang pesat berubah dan peranan teknologi canggih dalam kehidupan seharian, golongan belia harus dipersiapkan untuk mengharungi perubahan berkenaan khususnya dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pembangunan teknologi digital.
Oleh itu, penekanan kepada pembangunan sumber manusia dan pendidikan mampu memainkan peranan penting dalam mempersiapkan pelajar-pelajar supaya mereka lebih fleksibel serta mampu menerima perubahan yang datang daripada IR4.0 serta perkembangan teknologi digital.
IR4.0 membawa bersama pelbagai cabaran dan peluang bagi negara-negara di seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam di mana ia memerlukan satu anjakan paradigma baharu untuk merubah pemikiran yang sedia ada kepada pemikiran holistik, kreatif, inovatif dan mampan supaya negara dapat meneruskan pembangunan dari segi fizikal, ekonomi dan teknologi seiring dengan rakan-rakan serantau.
Dalam meneroka peluang-peluang pembangunan dalam era teknologi digital canggih, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam hasratnya menjadi sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi, sumber tenaga manusia, pendidikan dan infrastruktur bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Melangkah ke hadapan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah sempena menyambut Tahun Baharu Masihi 2023, “Mengimbas balik masa tiga tahun ketika menghadapi COVID-19, kita telah melihat musibah ini, walaupun membawa kesan sampingan kepada kehidupan, namun hikmahnya telah menciptakan peluang untuk kita berdikari memperkasa bidang-bidang utama seperti sekuriti makanan, perbekalan, pendidikan, kewangan dan kesihatan.
“Inilah hikmah yang tidak pernah terlintas di fikiran kita, dan malah banyak lagi untuk kelangsungan hidup, termasuk membanyakkan amal salih, beribadat, berdoa, bersabar dan bertawakal kepada Allah.
“Demikian juga hikmah fizikal pandemik telah meningkatkan kapasiti kaedah digital, yang membolehkan semua pihak menikmati perkhidmatan yang cekap dan cepat dalam bidang pekerjaan mahupun pembelajaran secara maya.
“Akan lebih bermakna lagi jika pengalaman ini dapat menyuntik semangat rajin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta berganding bahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.”
Baginda seterusnya bertitah, “Dengan adanya semangat sedemikian, akan mencetuskan minat besar para belia, khasnya untuk menceburi bidang-bidang baharu seperti big data, cloud computing, tenaga hijau dan teknologi mesra alam.”
Oleh itu, dalam era perkembangan teknologi digital yang pesat, negara perlu memberikan keutamaan dalam memanfaatkan teknologi canggih dan ekonomi digital sebagai pemangkin pembangunan negara menuju wawasan 2035.
Penekanan itu dapat disaksikan dalam komitmen Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) untuk terus menerajui pembangunan teknologi dan ekonomi digital yang mampan dengan pelancaran tiga pelan strategik pada 2020, iaitu Pelan Strategik MTIC 2025 bagi MTIC, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 di bawah Majlis Ekonomi Digital serta Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025, bagi mencapai Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.
Matlamat pelan-pelan berkenaan akan dimanfaatkan dan sentiasa dikaji semula sebagai dokumen hidup untuk memastikan ia seiring dengan perubahan masa serta sejajar dengan hasrat dan aspirasi negara ke arah sebuah negara pintar.
Pada masa yang sama, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucaptama semasa Perasmian Mesyuarat IAMMSTI-12 dan Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital, baru-baru ini, menekankan usaha Brunei secara aktif menyelaraskan dirinya dengan pembangunan digital dalam ASEAN di mana ia menunjukkan komitmen untuk menerima pakai dan memanfaatkan kuasa transformasi digital dan inovasi.
“Kami mengiktiraf kepentingan berada di barisan hadapan kemajuan teknologi untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan perkhidmatan awam dan memperbaiki kualiti kehidupan warganya secara keseluruhan,” tekannya.
Dalam hubungan itu, beberapa inisiatif untuk mempromosikan penggunaan teknologi baru muncul dan menjana persekitaran yang membolehkan inovasi berkembang telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan dan sektor swasta melalui pendekatan seluruh negara di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital.
Antara inisiatif berkenaan termasuk Ekosistem Syarikat Pemula dan Inovasi Digital di mana menerusi peruntukan sokongan inkubator, mentor dan ruang kerja bersama ia dapat memudahkan pertumbuhan syarikat pemula dan inovasi digital.
Manakala Makmal Inovasi Brunei (BIL), sebuah inisiatif diterajui industri yang ditubuhkan pada 2022 telah menyediakan laluan bagi pertumbuhan usaha teknologi dan juara digital.
Pembayaran digital pula menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran digital dan mempromosikan sebuah masyarakat tanpa wang tunai dengan pengenalan pembayaran inovatif termasuk dompet mudah alih yang membolehkan pengguna membuat transaksi menggunakan telefon pintar.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya menyatakan bahawa pembangunan kemahiran digital dan memupuk bakat tempatan merupakan komponen utama bagi menyokong matlamat pembangunan digital negara.
Sehubungan itu, beberapa inisiatif untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan literasi digital dalam kalangan warga telah dilancarkan dengan kerjasama rakan-rakan kongsi industri dan institusi pendidikan.
Seterusnya, bagi mempromosikan keyakinan serta kepercayaan dalam ruangan digital dan perkongsian data serta transaksi, kerajaan telah menggubal Perintah Sekuriti Siber baru-baru ini, yang bakal dilaksanakan. Pada masa yang sama, perkembangan positif telah dicatat menerusi rumusan Perintah Perlindungan Data Peribadi (PDPO).
Selain itu, kerajaan juga mengutamakan pembangunan peningkatan kesalinghubungan Internet termasuk mengembangkan rangkaian fiberoptik serta penempatan teknologi mudah alih terkini yang menyediakan liputan eks-tensif di seluruh negara.
Baru-baru ini, perkhidmatan 5G telah diaktifkan pada 22 Jun lalu di mana ia merupakan satu lagi mercu tanda bersejarah dalam pembangunan landskap teknologi digital negara, selain membuka peluang bagi peningkatan pendigitalan di mana individu, perniagaan dan komuniti dapat memanfaatkan kelebihan teknologi 5G.
Jelaslah untuk negara terus bergerak maju ke arah mencapai wawasan negara 2035, segenap lapisan rakyat dan penduduk negara harus peka dan bersedia berdepan perubahan anjakan paradigma minda bagi memanfaatkan sepenuhnya perkembangan teknologi digital sebagai pemangkin ke arah pembangunan negara.
IR4.0 dan teknologi digital bukan sahaja membawa bersama pelbagai cabaran tetapi juga peluang serta membuka laluan kepada pasaran yang lebih luas merentas sempadan negara. Namun ia memerlukan sumber tenaga manusia yang berkemahiran, inovatif, kreatif dan berdaya saing untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang wujud daripada perkembangan teknologi canggih itu.