Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Beri ganjaran bersesuaian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Tenaga kerja berkualiti dilengkapi dengan mentaliti pertumbuhan adalah penting bagi sesebuah negara.

    Mereka adalah aset sebuah organisasi dan wajar bagi tenaga kerja itu diberikan ganjaran bersesuaian, sekuriti pasaran kerja serta persekitaran kerja yang kondusif untuk mendorong peningkatan prestasi kerja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Pelancaran Garis Panduan Gaji di Sektor Swasta dan laman MPEC di Dewan Bankuet JPM, hari ini.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Manpower Planning and Employment Council (MPEC), kumpulan kerja MPEC dan wakil-wakil syarikat daripada sektor swasta.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato selaku Pengerusi MPEC mengongsi akan pentingnya tenaga kerja di mana mereka membantu perniagaan untuk terus beroperasi lebih-lebih lagi semasa negara dilanda penularan wabak COVID-19.

    Secara amnya, tambahnya, masih terdapat pekerja yang dibayar dengan kadar gaji yang rendah dan tidak mencukupi. Menyedari akan perkara itu, beliau menekankan adalah perlu bagi syarikat swasta untuk sentiasa menghargai para pekerja dengan memberikan kadar gaji yang berpatutan bagi membantu meningkatkan taraf hidup, produktiviti kerja mereka serta menggalakkan kemajuan ekonomi dan sosial ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa majlis pelancaran, kelmarin.
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua bergambar ramai semasa majlis tersebut.
    Antara jemputan yang menghadiri majlis di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, kelmarin.

    Dua orang wanita menyaksikan laman sesawang MPEC yang mengandungi panduan gaji bagi pekerja sektor swasta.

    Beliau juga menggesa para majikan di sektor swasta untuk menggunakan Garis Panduan Gaji di Sektor Swasta itu sebagai rujukan amalan terbaik dalam menyediakan pakej gaji yang kompetitif supaya menarik anak tempatan untuk bekerja dan bertahan di syarikat masing-masing.

    Bagi pekerja pula, ulasnya, adalah diharapkan supaya garis panduan yang mengandungi kadar gaji yang disarankan mengikut jawatan pekerjaan yang telah dikenal pasti dapat dijadikan rujukan khususnya semasa memulakan kerjaya mereka.

    Yang Berhormat Dato turut menyeru supaya dewan perniagaan untuk menggalakkan ahli-ahli mereka menggunakan garis panduan berkenaan kerana ia boleh memberi nilai kepada majikan dan pekerja ke arah menggalakkan pertumbuhan serta produktiviti negara.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran garis panduan berkenaan dan laman sesawang MPEC yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

    Pelancaran garis panduan itu menandakan satu lagi kejayaan bagi MPEC sejak penubuhannya pada 2019.

    Garis panduan itu berfungsi untuk membantu sektor swasta dalam mewujudkan pakej gaji yang kompetitif dan menarik bagi membolehkan pekerja tempatan memperoleh pekerjaan yang bermakna dan mengekalkan mereka dalam sebuah pekerjaan.

    Ia seterusnya akan meningkatkan kerjaya individu berkenaan dalam profesion yang diceburi. Ia mengandungi 22 job families yang mana ia adalah berdasarkan kepada permintaan industri.Penyediaan garis panduan berkenaan juga merupakan langkah yang penting ke arah memastikan pencari kerja dan pekerja tempatan menerima gaji yang bersesuaian mengikut kemahiran dan produktiviti mereka di setiap peringat tangga kerjaya.

    Inisiatif itu adalah selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai ekonomi yang produktif dan mampan melalui penjanaan pekerjaan yang berkualiti.

    Sementara itu, laman sesawang MPEC yang turut dilancarkan pada majlis berkenaan, mengandungi maklumat-maklumat mengenai inisiatif dan program yang dikendalikan di bawah MPEC dan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk program peningkatan kapasiti bagi anak-anak tempatan serta tawaran-tawaran pekerjaan di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...