Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Beriga mengenai ASEAN di SM YSHHB

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Jabatan Penerangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, baru-baru ini, telah meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB).

    Ia dihasratkan untuk memberigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada golongan pelajar di negara ini.

    Jerayawara yang dihadiri oleh 187 orang pelajar Tahun 8 dan 9 bersama tenaga pengajar itu berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut.

    Taklimat Kenali ASEAN semasa jerayawara itu telah disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang antaranya menyentuh aspek-aspek bagi sama-sama menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan motonya iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Jerayawara berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan ASEAN dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Seorang pelajar menerima hadiah setelah berjaya menjawab kuiz yang turut diadakan semasa taklimat berkenaan.
    Gambar ramai semasa taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna SM YSHHB, baru-baru ini.

    Pada masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Dalam pada itu, kuiz ASEAN juga diadakan semasa jerayawara itu yang bertujuan untuk mengenal pasti sejauh mana golongan pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranan pertubuhan dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play and App Store.

    Selain itu, Sekretariat bagi SCI ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN iaitu ASEAN Communication Master Plan II (ACMP II) yang merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Wawasan ASEAN 2025.

    Terbitan berkenaan bolehlah didapati di laman sesawang Jabatan Penerangan dan juga melalui laman sesawang rasmi ASEAN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...