Tuesday, April 29, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berikan perkhidmatan terbaik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Para pengendali dan penyedia pengangkutan awam disarankan memberikan perkhidmatan terbaik, boleh dipercayai dan berdisiplin serta memaparkan imej positif bagi keselesaan delegasi Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2020 yang akan berada di negara ini bermula 12 hingga 16 Januari ini.

    Saranan itu disuarakan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Zulzalani bin Haji Osman pada taklimat aspek keselamatan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, menjelang forum tersebut hari ini.

    Menurutnya lagi, seramai 1,500 delegasi termasuk menteri-menteri, ketua-ketua pertubuhan pelancongan ASEAN, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, India dan Rusia dijangka menghadiri majlis tersebut.

    Sehubungan itu, beliau menggalakkan syarikat-syarikat pengendali bas, persatuan teksi, pengendali perkhidmatan e-hailing, pengendali bot dan perahu tambang agar memberikan perkhidmatan terbaik, boleh dipercayai, berdisiplin, selesa dan selamat kepada para delegasi yang hadir pada forum itu.

    Menurutnya lagi, antara kawasan-kawasan utama untuk penyediaan pengangkutan sewaktu ATF 2020 nanti termasuklah hotel-hotel, BRIDEX di Jerudong, tempat-tempat pelancongan utama seperti Kampong Ayer serta penggunaan perahu ke Daerah Temburong menuju ke Taman Negara Ulu Temburong.

    Taklimat yang yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi itu dipengerusikan bersama oleh Haji Zulazani, pemangku pengarah pengangkutan darat, pemangku pengarah penerbangan awam dan pemangku ketua eksekutif Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim (PBMP). Ia juga dihadiri oleh wakil-wakil syarikat bas, persatuan teksi, pengendali perkhidmatan e-hailing dan pengendali bot serta perahu tambang.

    ATF turut melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan dari negara-negara ASEAN, para media dan juga pertubuhan-pertubuhan berkaitan dengan sektor pelancongan daripada luar ASEAN seperti Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Sedunia (WTTC) dan lain-lain.

    ATF telah mula diadakan pada tahun 1981 sebagai kerjasama antara negara-negara ahli ASEAN untuk mempromosikan ASEAN sebagai satu destinasi pelancongan serta dikendalikan secara bergilir-gilir oleh negara-negara ahli ASEAN.

    Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan ketika menyampaikan Taklimat Persediaan dan Keselamatan ATF 2020 kepada para pengusaha pengangkutan awam.
    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda