NUQUI, COLOMBIA – Di kawasan terpencil barat Colombia, di mana hutan hujan dara dan pantai semula jadi bertembung, sekumpulan ahli politik dan ahli perniagaan mengimpikan untuk membina sebuah pelabuhan besar di Pasifik.
Ia mengambil masa hampir dua dekad, tetapi komuniti kecil itu berjaya menentang projek itu, bertaruh pada model pembangunan yang berbeza untuk memelihara sebahagian kawasan yang diibaratkan syurga bagi mereka.
Pada bulan Jun, UNESCO mengisytiharkan Teluk Tribuga sebagai rizab biosfera, menamatkan rancangan untuk membina pelabuhan laut dalam dan kira-kira 80 kilometer lebuh raya melalui hutan yang tidak dicemari itu.
Wilayah terpencil, tanpa jalan yang menghubungkannya dengan kawasan pedalaman, mempunyai banyak spesies tumbuhan, manakala perairan Pasifiknya yang panas menjadi tempat pembiakan ikan paus humpback dan penyu.
Di wilayah di mana pengangguran mencecah kira-kira 30 peratus dan kemiskinan menjejaskan kira-kira 63 peratus penduduk, projek itu menjanjikan ‘banyak pekerjaan,’ beritahu Marcelina Morena, warga Columbia keturunan Afrika berusia 51 tahun.
“Tetapi sebaliknya, ia akan membawa kemusnahan hutan bakau, tanah, segala-galanya. Jadi kami menolak pembinaan pelabuhan itu.”
Memakai but getah dan sarung tangan, dia memanjat dahan bakau tebal untuk mencari piangua, moluska yang dianggap sebagai makanan istimewa di Ecuador dan Mexico.
Dia berkata Teluk Tribuga ‘akan diwariskan kepada kanak-kanak, supaya pada masa hadapan mereka mempunyai sesuatu untuk bergantung hidup.’
“Kami tidak akan membenarkan sesiapa memusnahkannya kerana ia adalah warisan semula jadi.”
Projek itu mula dicadangkan pada 2006 oleh sekumpulan 30 pegawai dan ahli perniagaan tempatan.
Ia berkembang dengan pantas se-hingga Ivan Duque, yang dipilih sebagai presiden pada 2018, menjadikannya satu projek utama.
Namun dia menghadapi tentangan hebat daripada kira-kira 18,000 penduduk Afro-Colombia dan ahli komuniti Orang Asli Embera yang menolak tawaran untuk menerima bahagian minimum dalam keuntungan yang diperoleh daripada projek.
Kumpulan dan kajian alam sekitar menekankan berulang kali bagaimana pembinaan pelabuhan itu akan merosakkan kawasan unik itu.
Pada masa yang sama, syarikat yang menyokong projek itu bergelut untuk mendapatkan kelulusan untuk meneruskan pembinaan.
Masyarakat tempatan juga merujuk kepada kes Buenaventura, terminal kargo Pasifik terbesar di Colombia, hanya 200 kilometer ke selatan, yang telah beroperasi selama beberapa dekad.
Namun begitu, kebanyakan penduduk kulit hitam di sana masih mengalami pengangguran, kekurangan perkhidmatan awam dan hidup di bawah ancaman kumpulan bersenjata yang mengedar dadah di sekitar pelabuhan.
Media tempatan juga melaporkan bahawa pelabuhan itu beroperasi kurang separuh daripada kapasitinya.
“Buenaventura bagaikan cermin. Pelabuhan hanya membawa faedah kepada segelintir orang” sementara mencipta masalah lain, kata Arnold Rincon, pengarah Codechoco, badan alam sekitar tempatan yang menentang projek itu.
Pada Februari 2022, di bawah tekanan daripada kempen alam sekitar yang agresif, Duque berundur dan meminta UNESCO untuk menetapkan zon itu sebagai rizab biosfera, tanpa menjelaskan perubahan keputusannya.
Penduduk mahukan jalan kemakmuran yang berbeza.
Penduduk tempatan “bercakap tentang ekopelancongan dan penangkapan ikan tradisional, penjualan kredit karbon dan strategi berbeza yang tidak menjejaskan flora dan fauna,” kata Rincon.
Ekopelancongan berskala kecil ke kawasan yang sukar dijangkau itu meningkat 126 peratus antara 2019 dan 2021, menurut data rasmi, dan dilihat sebagai enjin untuk pertumbuhan selanjutnya.
Tanpa hubungan ke pasaran yang lebih besar, sebuah syarikat membantu membawa ikan segar dari rantau ini dengan kapal terbang ke restoran di pedalaman.
Wanita yang menghabiskan hari-hari mereka mencari moluska piangua, yang dijual dengan harga tujuh dolar satu paun, berharap produk mereka akan menemui pasaran yang serupa.
Bakau yang memerangkap sejumlah besar karbon dioksida dan gas rumah hijau merupakan ‘kehidupan’, kata Arisleda Hurtado, presiden persatuan tempatan piangueras.
“Apabila awda hidup bergantung pada sesuatu, awda perlu menjaganya, awda tidak boleh memusnahkan apa yang menyokong awda.” – AFP