Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), kelmarin.
Dalam lawatan tidak berjadual itu, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Sejurus keberangkatan tiba di Bangunan KUPU SB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkesempatan membuat lawatan ke bilik kuliah yang sedang menjalankan sesi kuliah yang disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajar universiti tersebut.
Kemudian, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga meninjau beberapa blok bangunan kolej berkenaan termasuk Dewan Ta’lim dan seterusnya menyaksikan sendiri keadaan kediaman siswa dan siswi KUPU SB.
Baginda Sultan seterusnya berkesempatan melawat Perpustakaan KUPU SB dan kemudiannya ke Dewan Tarbiyah KUPU SB dan berkenan mengurniakan titah di hadapan para pelajar dan warga kolej universiti berkenaan.
KUPU SB mempunyai seramai 779 orang pelajar yang sedang menjalankan pengajian di kolej universiti tersebut iaitu seramai 32 pelajar program Doktor Falsafah Perguruan Ugama, 71 pelajar program Sarjana Perguruan Ugama, 33 pelajar Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, 321 Sarjana Muda Perguruan Ugama, 295 Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, 21 Diploma Pengajian dalam bidang perkhususan dan enam pelajar antarabangsa iaitu dua orang pelajar Thailand, dua orang pelajar Indonesia serta dua pelajar Malaysia.
Sementara itu, seramai 103 orang mahasiswi dan 79 orang mahasiswa menginap di asrama kolej universiti dan tiga antaranya merupakan pelajar antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Sudan.