Oleh Syahmi Hassan
WINDSOR, UNITED KINGDOM, 14 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan berangkat mengadakan majlis perjumpaan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Charles III, King of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, yang berlangsung di Oak Room, Windsor Castle, United Kingdom.
Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Baginda Raja Charles III antara lainnya menyentuh mengenai perkara-perkara bagi memperkukuhkan kerjasama hubungan dua hala dalam pelbagai bidang di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom termasuk kesejahteraan rakyat, di samping memberi peluang bagi Baginda berdua untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi hubungan muhibah dan silaturahim kerabat diraja antara kedua-dua buah negara.
Majlis itu menandakan perjumpaan rasmi buat kali pertama antara Baginda Sultan dan Baginda Raja Charles III sejak raja Britain itu menaiki takhta kerajaan pada 8 September.


