Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Mengadap dan Junjung Hari Raya Aidilfitri bagi Orang-orang Kenamaan serta Diplomat dan VVIP di Istana Nurul Iman.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam, cucunda-cucunda Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain.
Di majlis berkenaan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan menerima junjung ziarah daripada menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta duta-duta besar dan ketua perwakilan asing di negara ini.
Majlis Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri bersama Orang-orang Kenamaan serta Diplomat dan VVIP di Istana Nurul Iman di bulan Syawal adalah bagi meraikan Hari Raya, di samping beramah mesra bersama tetamu kenamaan yang hadir.