Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran 77 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77 Tahun bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Grand Chamberlain Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar berserta isteri masing-masing.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan sebelum bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai oleh seramai 1,708 orang peserta dengan dipimpin oleh Awang Abdul Matin bin Zulnorein, pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR), Jabatan Pengajian Islam (JPI) yang merupakan johan Kategori B dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.
Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan takhtim oleh pegawai-pegawai dan guru agama dari JPI dan disusuli dengan bacaan tahlil oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh peserta khatam Al-Quran, pelajar STAR, Awang Muhamad Adam Khairuddin bin Abdullah Muhamad Hassanuddin, yang merupakan johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Sekolah/Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Peringkat Akhir bagi Tahun 2021.
Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid serta pegawai-pegawai dan guru-guru agama perempuan dari JPI serta bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Para peserta khatam terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di keempat-empat daerah iaitu kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis yang dipilih untuk mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut ITQSHHB, sekolah Arab dan STAR, kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah agama Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu dari sekolah-sekolah Arab dan Al-Falah, sekolah-sekolah agama, Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan STAR serta penuntut-penuntut sekolah di seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.