Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam dan Ulang Tahun Jubli Emas Sekolah Stella di Tarindak D’Seni, di ibu negara.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah merupakan bekas pelajar di sekolah berkenaan.
Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan Doa Selamat sebelum sembah alu-aluan disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Stella, Lise Kim Chandler @ Lise Kim Lee.
Dalam sembah alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa tahun ini merupakan satu detik yang besar dalam pencapaian sekolah dan saat yang membanggakan untuk semua.


“Sekolah ingin menandakan tahun ini bukan sahaja bersempena dengan ulang tahunnya tetapi untuk merancang pada masa hadapan bagi 50 tahun yang akan datang,” tambah beliau.
Menurut beliau, memikirkan tahun 2069 adalah sesuatu yang mencabar untuk dilakukan, jadi pihak sekolah meminta para pelajar untuk Fast Forward Fifty bagi bukan sahaja cuba membayangkan sekolah tetapi dunia secara keseluruhan.
Sembahnya, respons yang diterima memberikan mereka wawasan untuk menjadikan Fast Forward Fifty sebagai tema sambutan jubli emas untuk mendidik semua bagaimana untuk melindungi dan memelihara persekitaran supaya anak-anak akan dapat menghargai apa yang selalunya dipandang ringan.
Seterusnya, guru besar Sekolah Stella menyampaikan cek bernilai $8,480 kepada Presiden dan Pengasas BruWILD, Liaw Lin Ji.
Lise Kim Chandler kemudiannya menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dan Dr Azaharani bin Haji Jamil selaku bekas-bekas pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), Pat Lee atas sumbangan masa dan derma beliau kepada Karnival Amal mereka dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) atas bantuan yang diberikan.