Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1444 Hijrah di Royal Berkshire Hall, Jerudong, kelmarin.
Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Keberangkatan tiba Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut menjunjung, Penasihat Bersama Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah; penasihat-penasihat bersama dan pengerusi-pengerusi bersama serta ahli-ahli jawatankuasa kerja majlis dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).
Majlis telah diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran ayat 1 hingga 7, Surah At-Tahrim oleh pemenang tempat ketiga Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan tahun 2022, Dayang Siti Zahrina binti Abdul Wahab.
Ia diikuti dengan persembahan dikir oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan MWNBD.
Ceramah Khas mengenai tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW pada tahun ini, ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Meraih Syafaat Rasulullah SAW’ pula telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Hanisah binti Haji Othman.
Acara diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Munjiyyah beramai-ramai yang dipimpin oleh penuntut-penuntut Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Doa Selamat bagi memberkati majlis telah dibacakan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Norhayati binti Pengiran Kasharan.







