Tuesday, April 30, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Muhibah Raya

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Shell Joint Venture (BSJV), hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Muhibah Raya.

    Majlis yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, Jerudong itu julung kalinya dianjurkan oleh syarikat-syarikat BSJV yang terdiri daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) dan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC), Shell Deepwater Borneo (SDB) dan Shell Exploration and Production Brunei (SEPB).

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis itu telah dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Pengerusi Shell Country bagi Syarikat-syarikat Shell di Brunei Darussalam dan Pengarah Urusan BSP, Agnete Johnsgaard-Lewis.

    Dalam sembah alu-aluannya, Agnete Johnsgaard-Lewis antara lain menyembahkan bahawa Aidilfitri merangkumi semangat kebersamaan, dan sambutan bersama itu memperingati perpaduan yang ditunjukkan oleh kumpulan syarikat gabungan Shell di Brunei.

    Katanya, Brunei Darussalam memulakan perjalanan minyak dan gas pada 1929 dan bersama syarikat-syarikat berkaitan, mereka telah mencipta sejarah di peringkat nasional dan antarabangsa serta telah berinovasi dan menyampaikan lebih banyak pencapaian.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai bersama pengarah urusan enam syarikat BSJV pada Majlis Sambutan Muhibah Raya di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan melawat rumah terbuka salah satu syarikat BSJV. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan beramah mesra bersama jemputan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Muhibah Raya kendalian bersama syarikat-syarikat BSJV. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau menyembahkan, kerjasama itu hanya diperkukuh dalam beberapa dekad yang lalu, dan diharap ia akan terus membina perkongsian kukuh untuk terus mengekalkan misi menyampaikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dengan selamat yang diperlukan oleh Brunei dan dunia ke arah masa depan yang makmur dan berkembang maju untuk semua.

    Menurut kenyataan yang diberikan, Muhibah Raya antara lain bertujuan memupuk hubungan dan kebersamaan yang lebih erat, semangat perpaduan dan muhibah, di samping mencerminkan skala impak dan sumbangan industri minyak dan gas kepada ekonomi dan ekosistem negara.

    Selaku penyumbang utama kepada kejayaan pembangunan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara, adalah penting untuk mengiktiraf peranan penting industri minyak dan gas.

    Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional yang diadakan semasa majlis santap.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung bagi melawat rumah terbuka yang dipersembahkan oleh organisasi-organisasi terlibat dalam bentuk petak pameran yang mempamerkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

    Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet, orang-orang kenamaan asing, para pegawai kanan daripada sektor kerajaan dan swasta, pegawai akademik, dan badan bukan kerajaan, bersama-sama pengarah urusan enam syarikat BSJV iaitu Agnete Johnsgaard-Lewis; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Adeleye Falade; Pengarah Urusan BSM, Alexirwan Omar; Pengarah Urusan BGC, Mateen Liew; Pengarah Urusan SDB, Dougal Grant dan Pengurus Besar SEPB, Abdullah Haji Ibrahim.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...