Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Malam Gala ISB

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Malam Gala Ulang Tahun Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) ke-60 yang berlangsung di The Empire Brunei.

    Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

    Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja dijunjung oleh Pengerusi Lembaga ISB, Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley; Pengurus Besar ISB, Vienna Law serta ahli-ahli Lembaga Pengarah ISB.

    Majlis diteruskan dengan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja berkenan bergambar ramai bersama Lembaga Pengarah ISB dan pengurusan kanan ISB serta melawat pameran terowong yang mengetengahkan pencapaian dan mercu tanda perjalanan 60 tahun ISB.

    Majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk, 60 Years of ISB, yang mencerminkan sejarah dan pembangun sekolah serta sebuah video ucapan tahniah daripada alumni ISB.

    Acara juga diserikan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar ISB termasuk persembahan duet piano oleh YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Eshlee Hii.

    Satu lagi acara utama pada malam itu adalah ucapan daripada Alumni ISB, Penasihat Undang-undang di International Committee of the Red Cross (ICRC) di Geneva, Switzerland, Vanessa Murphy di mana beliau telah tamat pengajian pada 2008 dengan perfect score 45 mata dalam International Baccalaureate Diploma Programme.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Malam Gala Ulang Tahun ISB ke-60. Berangkat sama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. Turut hadir YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis diserikan dengan persembahan duet piano oleh YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Eshlee Hii. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dato Seri Paduka Haji Ahmad, Nicholas King, Dominic Morley dan Vienna Law memotong kek ulang tahun pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Salah satu persembahan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda