Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, berangkat tiba di Mekah Al-Mukarramah.
Berangkat mengiringi Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ialah kerabat diraja.
Sebelum meninggalkan Madinah Al-Munawwarah, Baginda berdua berangkat melakukan Ziarah Wida’ ke Makam Rasulullah SAW.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri di Mekah Al-Mukarramah dijunjung oleh Menteri Perdagangan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am Perdagangan Asing, Tuan Yang Terutama Dr Majid bin Abdullah Alkassabi selaku menteri pengiring.
Semasa berada di Mekah Al-Mukarramah, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat mengerjakan ibadat umrah.
Umrah adalah satu ibadah yang sangat digalakkan oleh agama Islam dengan menziarahi Baitullah di kota suci Mekah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang
tahun.
Umat Islam mengenalinya sebagai ‘ziarah kecil’ atau juga dikenali sebagai ‘haji kecil’ yang memurnikan para jemaah dan bagi mendapat pengampunan daripada Allah SWT.