Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mempengerusikan Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, di Bilik Mesyuarat West Wing, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM selaku Penasihat; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Pengerusi; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Timbalan Pengerusi 1; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen selaku Timbalan Pengerusi 2; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah selaku Timbalan Pengerusi 3.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, yang juga Penolong Pengerusi Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.
Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat terdiri daripada Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersen-jata Diraja Brunei dan pehin-pehin manteri.
Majlis Mesyuarat Adat Istiadat antara lain bertanggungjawab mengawasi perkembangan adat istiadat dari semasa ke semasa dan mengambil inisiatif yang bersesuaian dan memastikan pelaksanaan adat istiadat yang sempurna berdasarkan prinsip memelihara keaslian dan keutuhannya.