MELBOURNE, 5 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Sambutan Rasmi dan Resepsi Perdana Menteri bertempat di Melbourne Convention and Exhibition Centre (MCEC).
Juga berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Di ASEAN Leaders Arrival Hall, MCEC, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan secara rasmi oleh Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, Australia dan Republik Demokratik Timor-Leste bagi sesi bergambar ramai dan diikuti dengan menyaksikan Smoking Ceremony oleh Wurundjeri First Nations Elders iaitu salah satu adat tradisi masyarakat orang asli Australia.
Ini diikuti dengan majlis resepsi yang dimulakan dengan persembahan tarian Australian First Nations dan nyanyian lagu tema ASEAN dan lagu kebangsaan Australia. Majlis juga diserikan dengan ucapan Welcome to Country oleh Wurundjeri Elder dan ucapan alu-aluan TYT Perdana Menteri Australia serta persembahan muzikal.
Selesai majlis resepsi, Baginda Sultan berangkat menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh TYT Perdana Menteri Australia dan Jodie Haydon yang berlangsung di The Great Hall, National Gallery of Victoria.