KUCHING, SARAWAK, 22 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat ke Kuching, Sarawak, Malaysia untuk menghadiri Upacara Pengebumian Negeri bagi mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib bin Mahmud.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Seri Laila Jasa Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan selaku Menteri Pengiring; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.

Di Masjid Demak, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menunaikan solat Fardu Zuhur dan solat Jenazah berjemaah bagi Allahyarham Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib. Jenazah Allahyarham kemudian disemadikan pada upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Demak Jaya.
Juga hadir pada Upacara Pengebumian Negeri itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Tuan Yang Terutama Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dilahirkan pada tanggal 21 Mei 1936 di Miri, Allahyarham Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib kembali ke rahmatullah pada awal pagi kelmarin di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada Allahyarham, antaranya Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) yang membawa gelaran Dato Laila Utama pada 14 Ogos 2014; dan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia (SPMB) Darjah Pertama yang membawa gelaran Dato Seri Paduka pada 3 September 1989.