Friday, November 29, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN ke-11

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TEMBURONG, 16 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-11 yang diadakan di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, hari ini.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di padang kawad tersebut dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin; dan Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah.

    Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Seterusnya, Baginda Sultan berkenan memeriksa perbarisan tamat latihan PKBN Pengambilan ke-11 yang terdiri daripada seramai 539 pelatih iaitu 403 lelaki dan 136 perempuan.

    Baginda selanjutnya berkenan menerima tabik hormat daripada perbarisan yang berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima pesambah.
    Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama enam pelatih terbaik PKBN Pengambilan ke-11. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra bersama ahli keluarga pelatih PKBN Pengambilan ke-11.
    Baginda Sultan berkenan berangkat bagi menyaksikan pameran.
    Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Sultan Hassan yang baharu di Kampung Batu Apoi.
    Baginda Sultan semasa berkenan melawat Rumah Panjang Kampung Tanjung Bungar. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan semasa berkenan dijunjung bergambar ramai bersama warga Sekolah Menengah Sultan Hassan. – Gambar oleh Infofoto
    Perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.
    Antara ahli keluarga pelatih PKBN hadir pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.
    Antara ahli keluarga pelatih PKBN hadir pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.

    Seterusnya, Baginda berkenan mengurniakan titah dan anugerah kepada enam pelatih terbaik iaitu Pelatih Lelaki Terbaik Kawad, 13476 Muhammad Sukhairol Suharae bin Abdulah Suhardi (Platun 7); Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, 13590 Nur Insyirah Batrisya binti Haji Zainuddin (Platun 10); Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani, 13693 Mohammad Addey bin Someun (Platun 1); Pelatih Perempuan Terbaik Jasmani, 13560 Rabiatul Adawiyah binti Shahminan (Platun 9); Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, 13292 Muhammad Nur Iffat Fadlullah bin Fandi (Platun 3); dan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, 13370 Hazirah Maisarah binti Hamdillah (Platun 5).

    Selesai mengurniakan anugerah, Baginda dijunjung naik ke pentas diraja dan tiga kali daulat untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilaungkan.

    Setelah itu, Baginda berkenan menerima Hormat Diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan diakhiri dengan perbarisan tamat latihan berjalan lalu dan keluar dari padang kawad.

    Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke Ruang Legar, Kem Latihan PKBN bagi menyaksikan pameran-pameran daripada Tim Pusat Pengasingan Komuniti PKBN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan sebelum dijunjung berangkat bagi santap ringan.

    Sebelum meninggalkan majlis, Baginda berkenan menandatangani Buku Lembaran Kenangan dan bergambar ramai bersama para pelatih serta menerima pesambah daripada Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda ke Kem Latihan PKBN.

    Sejak PKBN ditubuhkan, ia telah mengeluarkan seramai 3,716 alumni termasuk pengambilan ke-11 ini. PKBN Pengambilan ke-11 telah dilaksanakan bermula 27 November 2022 dan berakhir pada 16 Mac 2023.

    Setelah itu, Baginda mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Sultan Hassan yang baharu di Kampung Batu Apoi.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Dalam lawatan itu, Baginda berkenan meninjau blok pentadbiran, bilik darjah, padang, perpustakaan dan blok sains yang menempatkan Program Pra Vokasional, Makmal Seni dan Sains.

    Baginda juga berkenan beramah mesra bersama para pelajar dan kakitangan sekolah tersebut dan menandatangani lembaran kenangan.

    Terdahulu sebelum ke sekolah, Baginda berkenan melawat Rumah Panjang Kampung Tanjung Bungar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda