Oleh Nurdiyanah R.
LABUAN BAJO, 11 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat meninggalkan Labuan Bajo, Republik Indonesia setelah selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Hadir di Lapangan Terbang Komodo-Labuan Bajo bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Tuan Yang Terutama Dr Ir Mochamad Basuki Hadimuljono.
Juga hadir ialah Kuasausaha Sementara, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Indonesia, Dayang Yuhanizah binti Dato Paduka Dr Haji Ismail.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan para pemimpin ASEAN, antara lainnya, mengalu-alukan penglibatan Republik Demokratik Timor-Leste dalam Sidang Kemuncak ASEAN buat pertama kalinya sebagai negara pemerhati.
Para pemimpin ASEAN telah berbincang mengenai perkembangan dalam usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.
Perbincangan juga tertumpu kepada kepentingan dalam mempertahankan perpaduan ASEAN bagi memastikan ASEAN terus menjadi pusat pertumbuhan dan wadah
yang relevan untuk dialog dan kerjasama ke arah keamanan dan kemakmuran bersama.
Pada atur cara sampingan sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berangkat menghadiri perjumpaaan-perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Taur Matan Ruak.