Oleh Azlan Othman
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini, berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Umar bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong yang meninggal dunia pada usia 83 tahun.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Sejurus keberangkatan tiba di kediaman Allahyarham di Kampung Salambigar, di sini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia bersama-sama menyertai sembahyang jenazah berjemaah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kianggeh.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, Allahyarham YAM Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Umar dilahirkan pada 2 Februari 1940 di Kampung Kianggeh, Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan).
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Brunei pada 1950, Allahyarham kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.
Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan di Pasukan Polis Diraja Brunei dan kali terakhir, Allahyarham menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis dari 1 Januari 1984 hingga 31 Mac 1991.
Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Allahyarham telah diangkat menjadi Cheteria 8 dengan membawa gelaran sebagai Yang Amat Mulia Pengiran Putera Negara pada 10 Ogos 1972.
Kewajipan gelaran ‘Pengiran Putera Negara’ adalah bertanggungjawab memerhatikan keadaan pendirian dan kejujuran rakyat terhadap Sultan dan menyelidiki serta mengkaji masalah mengenai perkara itu untuk disembahkan kepada Baginda sebagai nasihat.