Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Berkenan bertahlil di Kubah Makam Diraja

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Bersempena bulan Ramadan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini mengadakan majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

    Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, selaku timbalan pengerusi kedua Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri Pertahanan Kedua Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Selesai bacaan doa, Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk menjirus air asah-asahan. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Jemaah Tadbir Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan, ahli-ahli Alumni Sultan’s Scholar Yayasan dan sukarelawan Yayasan.

    Majlis tersebut adalah salah satu daripada aktiviti tahunan Yayasan di bulan Ramadan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjirus air asah-asahan semasa majlis tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menadah tangan semasa doa dibacakan pada majlis tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama pegawai-pegawai kementerian semasa majlis tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...